Friday, November 21, 2008

Sekitar al-jinan


Monday, November 10, 2008

Suatu Yang Mengkagumkan !!




Menyampaikan Tazkirah Maghrib di Masjid Trolak Selatan

Saya telah mulakan majlis dgn bacaan ummul kitab dan ayat 105 surah at-Taubah. Saya menggariskan serta menekankan peranan dan tanggungjawab semua ketua jabatan negeri agar beramanah di atas tanggungjawab yang dipikul demi kebaikan rakyat dan negeri. Setaip mereka akan disoal satupersatu akan semua perkara zahir dan batin yang mereka lakukan di bumi ini.


Ketua Jabatan hendaklah menjadi ikutan kepada semua kakitangan bawahan dan mempamerkan akhlak yang mulia dan tinggi, wibawa dan penuh integriti serta menganggap usaha berkebajikan sebagai ibadah yang mulia. Saya mengingatkan kepada mereka akan rayuan setiap warga dan rakyat Perak di dunia apa lagi di akhirat mmenuntut hak mereka, jika sekiranya kita abaikan amanah dan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam.


Selepas sessi soal jawab, saya mengesyorkan agar setiap jabatan melaksanakan tazkirah setiap hari kerja di surau masing-masing pada jam 12.45 tengahari sebelum solat zohor. Mereka bersetuju dan mana –mana jabatan yang tiada kemampuan akan mendapat khidmat dari tenaga ustaz dari JAIP. Sebaik-baiknya biarlah ketua Jabatan itu sendiri yang bertazkirah.


Renungan Tazkirah Ust Idris Ahmad

 Sewaktu menang pemimpin dan pengikut adalah merupakan orang yang bertanggung jawab untuk mempertahankan kemenangan. Samatelah lagi yang bernama pemimpin menjawat jawatan Menteri besar, exco, wakil rakyat. Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan wajib seluruh anggota mempertahankan kemenangan dan mengekalkan kemenangan untuk kita melaksanakan tanggungjawab kepada agama Allah SWT dalam kemampuan dan batasan yang ada. Program tarbiah tidak tamat apabila kita sudah mencapai kemenangan, kerana ujian sewaktu menang lebih hebat daripada waktu tidak menang. Antara perkara yang perlu kita sama-sama lakukan dan titik beratkan dalam pembinaan peribadi pemimpin dan ahli ialah

Muraqabah dengan Allah SWT

Semua di kalangan anggota parti mesti melakukan muraqabah dengan Allah, melalui amalan-amalan sunat, beruzlah (mengambil sedikit masa untuk tumpuan ibadah) dari kesibukan dunia untuk mendapat ketenangan dan memohon supaya Allah memberi kekuatan dalam menjalankan amanah. Inilah senjata yang paling utuh perlu diterap dalam jiwa para ahli terutama di kalangan pimpinan.



Caranya:

-Membanyakkan amalan fardiah supaya dapat membersihkan diri dan jiwa dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, puasa dan amalan-amalan yang boleh menjadi nilai tambah kepada kita. Godaan syaitan dan iblis cukup kuat untuk merosakkan perjuangan ketika kita menang.

-Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup. Kata-kata Saidina Umar RA


-Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup. Kata-kata Saidina Umar RA.


Qudwah hasanah

Suri contoh teladan yang baik adalah senjata yang paling berkesan untuk mengajak orang kepada perjuangan dan menyakinkan apa yang kita bawa. Kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan daripada bahasa lidah.



Kisah seorang Yahudi bernama Zaid bin Saanah memiliki hutang pada Rasulullah SAW dua atau tiga hari sebelum sampai tempoh pembayarannya, beliau dan beberapa sahabatnya bertindak dengan kasar dan caci nista untuk meminta hutang. Saidina Umar yang ada pada waktu itu hendak pancung si lelaki tersebut. Baginda SAW melarang sebaliknya menyuruh Saidina Umar menjelaskan hutang dan di tambah 20 gantang tamar. Maka yahudi itu hairan, dan bertanya kenapa? maka Saidina Umar memberi tahu sebagai ganti kepada perbuatanku yang telah menggerunkan engkau. Akhirnya Yahudi tersebut memeluk Islam dan sebahagian hartanya disedekah kepada umat Muhammad SAW.


Kita pernah dengar bagaimana seorang masuk Pas kerana melihat al-Marhum Ustaz Fadhil Nor sebagai Presiden Pas berbaris dengan orang ramai walaupun ada orang menjemput beliau memotong giliran.



Bagaimana orang hendak ikut kita sedangkan kita sendiri lemah yang tidak memaparkan akhlak yang tinggi. Kita tidak mahu orang menjauhi kerana tidak ada suri teladan yang baik, dengan ini mendatangkan rugi kepada jama’ah. Watak ini jangan ada seperti kita mengajak orang lain berjihad sedangkan ia tidak. Mengajak orang lain berkorban sedangkan beliau sendiri bakhil. Jika kita mahu mengajak orang lain mengutamakan orang lain maka kita perlu tunjukkan dahulu sebelum menyuruh orang lain. Mengajak anak orang, isteri orang lain untuk berjuang sedangkan keluarganya mendiamkan diri di rumah dan tidak memberi galakan kepada mereka untuk mempertahankan kemenangan.




Firman Allah SWT

“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan ) kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir?” (al-Baqarah: 44)


Caranya:-Banyak mengambil iktibar daripada akhlak Rasulullah SAW dan para sahabat sewaktu menang


-Banyak membaca kisah nabi-nabi SAW, para sahabat dan ulama’ serta pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia kerana ini akan memberi motivasi kepada jiwa kita untuk meniru mereka.

-Jangan menunjuk lambang kemewahan, kerana orang benci terutama pengikut dan petugas kita di peringkat bawah. Kita bimbang jika jama’ah memerlukan wang kita tidak boleh beri wang sedangkan mereka melihat kita bergaya dengan kemewahan. Semua ini akan menghakis thiqah pengikut dan orang awam kepada kemenangan kita. Maka mereka menuduh kemenangan kita tidak mempunyai erti kepada perjuangan Islam. Bukan mustahil semangat mereka untuk bekerja kearah untuk mengekalkan kemenangan akan luntur. Kita tidak bimbang musuh benci kepada Pas, yang paling kita takut ialah apabila petugas marah dan tidak bekerja untuk mengekalkan kemenangan dalam PRU akan datang.


-Banyak muhasabah diri dan merasakan kelemahan yang terlalu banyak pada diri dan berusaha untuk meningkat.

-Bersedia untuk menerima teguran, kerana kelemahan sendiri agak sukar untuk melihat dengan ini kita memerlukan orang lain yang memerhatikannya.

-Kena suruh anak dan isteri kita bertungkus lumus bersama dengan perjuangan untuk memasti kemenangan dikekalkan dengan ini mendorong petugas bertambah semangat untuk bekerja seperti baginda SAW bersama menggali parit ketika berlaku peperangan Ahzab dalam bulan syawal tahun 5 hijrah. Walaupun sahabat suruh baginda berehat, namun baginda tidak mahu berbuat demikian semata-mata untuk memberi semangat kepada sahabat yang lain dalam mempertahankan kota Madinah.


-Aurat anak isteri mesti dijaga, kerana ini adalah penilaian awal masyarakat kepada perjuangan kita. Memelihara aurat adalah lambang yang membezakan kita dengan perjuangan orang lain. Pakaian adalah tanggapan awal untuk orang thiqah dengan perjuangan yang kita bawa. Masyarakat akan tawar hati apabila ia melihat ketika berdegar-degar bercakap tentang Islam dan menyeru kepada perjuangan Islam, sedangkan anak isteri punya pakaian tidak melambangkan apa yang diucap.


Penulis adalah AJK PAS Pusat

Friday, November 7, 2008

KIDU Anjurkan Kursus Bahasa Arab Rendah


Kolej Islam Darul Ulum ( KIDU ) buat kali ketiga akan mengadakan Kursus Bahasa Arab dan Fardhu Ain bagi katogari sekolah rendah berumur 10 hingga 13 tahun

Program bermula pada 14 hingga 31 Disember 2008 selama 18 hari. Sepanjang kursus pelajar akan mengikuti kelas bermula jam 8.00 pagi hingga 10 malam dalam 3 sesi. setiap sesi selama 1 jam hingga 2 jam. Kandungan kursus mengandungi komunikasi dan aktiviti berbahasa arab di dalam makmal dan menggunakan kemudahan IT. Disamping itu penekanan juga diberikan kepada aspek rohani dan bimbingan fardhu ain dan al-quran.


Pelajar akan dibimbing oleh pensyarah KIDU dan fasilitator di kalangan bekas pelajar.

Bagi yang berminat boleh menghubungi Ust Ghani selaku Pemangku Pendaftar dengan SMS peserta 017 - 4800965 atau talian pejabat 04 - 7825754 atau fax 04 - 7824070

Yuran pengajian termasuk penginapan dan makan selama 18 hari hanya RM 250 sahaja.

Daftar segera tempat adalah terhad


Ust Zainal di Mesir


Asrama Darul Aman Kaherah, 6 November 2008 - Badan Ilmiah dan Pengetahuan Majlis kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) hari ini menganjurkan Majlis Penutup Kelas Intensif yang berlangsung sejak 2 minggu yang lalu.

Majlis bermula selepas selesai solat Isyak. Majlis dimulai dengan ucapan aluan Ustaz Abu Bakar bin Razak, Yang Dipertua MKKK dan ucapan dari Ustaz Zakaria bin Othman, Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir. Majlis kemudiannya menyerahkan saguhati kepada tenaga pengajar kelas intensif seramai 7 orang yang disampaikan oleh Ustaz Muhd Zainul Asri bin HJ Ramli diiringi Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir dan
Yang Dipertua MKKK.

Perasmian penutup kelas intensif ini oleh Al-Fadhil Ustaz Muhd Zainul Asri bin HJ Ramli, Pensyarah Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) .Al-Fadhil ustaz lebih dikenali dengan panggilan Pak Long.Beliau juga adalah Khirrijil Azhar. Majlis memberi ruang seluas-luasnya kepada Al-Fadhil ustaz untuk berucap dengan memberi kalam taujihat dan sekaligus merasmikan penutupan kelas intensif ini.

Al-Fadhil ustaz dalam ucapannya menyentuh beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh mahasiswa/wi antaranya mengenai tujuan hijrah ke ardil kinanah dan niat dalam menuntut ilmu. Para penuntut hendaklah berniat mengaji untuk beramal bukan semata-mata untuk tambahkan ilmu. Al-Fadhil juga menyatakan bahawa mengaji untuk sampaikan ilmu kepada masyarakat. Jadi beliau menyeru azhari dan azhariah jangan terlambat dalam mempersiapkan diri. Persiapan diri inilah untuk dibawa pulang kepada masyarakat.

Selain itu, Ustaz Zainul Asri juga menekankan mengenai perjuangan. Azhari harus menjiwai perjuangan dalam menegakkan islam apabila terjun kepada masyarakat kelak. Praktikkan ilmu yang dipelajari dalam mendidik masyarakat sesuai dengan keadaan, tempat dan semasa. Pensyarah KIDU ini juga yang merupakan Ketua Muzakarah MKKK satu ketika dahulu menyebut bahawa anak Kedah mesti bersatu. Antara tujuan kehadiran beliau ke bumi Mesir juga adalah ingin meminang azhari dan azhariah pulang berkhidmat di Kedah. Pak Long Zainul Asri amat berharap supaya para mahasiswa/wi siap dan perlengkapkan diri dengan ilmu untuk berjuang di tanah air kelak.

Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah merakamkan jutaan terima kasih buat Al-Fadhil Ustaz Zainul Asri kerana sudi meluangkan masa dan merasmikan majlis penutup kelas intensif padam malam ini.