Friday, October 31, 2008

Jamuan Aidilfitri




Alhamdulillah kami sekeluarga selesai mengadakan jamuan hari raya kepada warga blok H dan tetamu daripada syuyukh al-Azhar yang tinggal di Kaurters Guru Sebearng Perak.




Terima kasih kepada semua tetamu yang hadir terutama para Dr Al- Azhar . Jamuan istimewa adalah resepi arab seperti 'kushari' dan ayam golek dan roti arab. Ditambah dengan "salatoh' danm 'tohinah'. Pastinya dirindui mereka yang sudah hampir 6 bulan bermukim di sini seterlah datang selepas cuti lalu.




Sahabat - sahabat x - Mesir pun tidak melepaskan peluang setelah lama meninggalkan bumi Mesir.




Thursday, October 30, 2008

Lulusan KIDU menyambung pengajian di Bumi Syam

Semalam seramai 5 orang lulusan Diploma KIDu telah berangkat ke Syiria dan akan menyambung pengajian di sana . Mengikut perancangan mereka akan menyambung pengajian di Univerisiti Al-Jinan Lubenon. Pemergian mereka diiringi oleh Ustaz Zainal Asri Ramli selaku Penolong Pensyarah KIDU.

Semasa di airport turut menghantar mereka ialah Ustaz Zawawi Hj Ahmad Ketua Pegawai Eksekutif, pensyarah dan guru SMIDU termasuk rakan mereka yang sedang mengikuti pengajian di Kolej Universiti INSANIAH Alor Star.

Semoga mereka terus tabah dan sabar dalam mengikuti pengajian di Bumi Ambiyak yang penuh barakah dan pulang sebagai mujahid dan mujahidah ummah

Monday, October 27, 2008

Menjawab Tohmahan





Dr Hayati menulis .. MP Pendang ( alumni KIK )


Amboi-amboi, TV3 sedapnya cakap, kata wakil rakyat Kerajaan PAS pi makan angin luar negara ketika banjir berlaku. Lain kali siasat la dulu sebelum buat berita. Tak kan TV3 nak masuk group Utusan Malaysia kot, bila keluar berita semua orang dah pandang tak kisah lagi, macam berita basi, semua orang dah nampak kalau UM atau TV3 keluar berita, dah tentu nak putar belit punya, pasal tu disebut tiga suku la, meloya la, macam-macam gelaran lagi, maklumlah sekarang ni dah banyak alternatif news yang rakyat boleh baca dan tonton, maka mereka yang masih ditakok lama tu dah tak diminati oleh rakyat lagi la. Sebenarnya MB dan hanya dua EXCO yang pergi luar negara atas urusan pelaburan disana, pergi 19 hb dan banjir mari 21 hb, jadi mana la nak sangka macam tu nak jadi, lagi pun yang ada masih ramai lagi, alhamdulillah semua dah selesai jalankan tugas masing-masing. Ada EXCO dan ada wakil rakyat yang mambantu menyelesaikan masalah disamping jabatan persekutuan dan negeri yang sama-sama membanting tulang membantu mangsa dipusat pemindahan dan dirumah . Bagi ana di Pendang, bersyukur kerana sebaik saja berlaku, EXCO Dato' Hj Mohd Taulan dan YB Ust Aishah Ghazali telah datang menziarahi dan menghulur bantuan kepada mangsa yang berpindah dan ana sebaik balik dari parlimen terus menziarahi mereka dan besoknya terus melawat kawasan yang terkena banjir.Tetapi kita memang la macam tu , banyak mana pi ziarah pun, tak kan masuk berita dan akhbar punya. Harap berita macam ni la yang nak masuk, buat berita sendiri dan siar sendiri. Itulah adilnya kerajaan BN yang dah nak lupus dari muka bumi Allah ni akibat politik wang yang diakui oleh Menteri UMNO sendiri. Kita doakan moga manusia species yang mengkhianati bangsa sendiri dan umat sendiri ini cepat-cepat Allah gantikan dengan yang lebih ikhlas berjuang demi agama , bangsa dan negara. Ana marah sungguh dengan depa ni, pasai jalan kampong yang berapa duit tu pun nak didiskriminasi, contoh jalan pi Paya Nedam Seberang, dah merdeka sampai berapa puluh tahun, tak nak diturap. padahal orang Islam semuanya duk situ, setiap kali masuk dalam list, pengkhianat ni la yang buangkan dari senarai, begitu juga dengan setiap pampasan ribut ka, banjir ka, selalu mereka jenis species ni lah yang selalu buat diskriminasi kepada bangsa sendiri. Macam di Banggul Sanai baru ni, padi dah tuai dah, masih lagi claim dengan MADA kata kena banjir dan dapat pampasan, tapi yang masih dok dalam banjir, tenggelam sungguh dan rosak padi , bukan dari group depa, tak dapat, kalau dapat pun sikit sangat, kalau depa 5 ratus, yang orang lain 100 satu relong, macam mana rakyat tak marah, la ni semua bangsa sudah nampak dah kezaliman depa ni, pasai tu 8 Mac lalu pakat kena tolak belaka. Kalau dengan bangsa sendiri pun sanggup buat naya, bayangkan dengan orang lain, sudah tentu lebih lagi la. Alah macam Tun Musa Hitan dan DS Rais Yatim kata la, kalau tak ada api tak kan nak ada asap kut. Cuma ana ingin mengucapkan tahniah kepada MB Kedah kerana sesampai saja di Penang, terus baritahu nak ziarah mangsa banjir di Pendang sebelum sempat balik kerumah tengok anak isteri . Kata beliau , dia sentiasa monitor keadaan banjir dari sana dan mendapat maklumat terkini melalui EXCO dan kakitangan kita.
at 7:32 AM 0 comments Links to this post
Thursday, October 23, 2008

Friday, October 24, 2008

Komentar Yb Khalid Samad Ucapan Tuan Guru

Friday, October 17, 2008

Ucapan Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Apabila Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hendak memulakan ucapan beliau, kelihatan MP2 yang berada diluar dewan semasa wakil BN berucap bergegas masuk ke dewan. Kawan dan lawan saling ingin mendengar apa yang mahu disebutkan oleh TGHH.

TGHH memulakan ucapan beliau dengan mengatakan bahawa dia akan menumpu kepada persoalan dasar dan prinsip. Dalam ucapan beliau yg hampir sejam, banyak yang disebutkan oleh beliau dan tak mungkin saya dapat ulas keseluruhan ucapan TGHH di sini. Transkrip penuh ucapan Dato Seri TG di Parlimen pada 15 Oktober 2008 boleh didapati di laman web MPPAS. Namun, saya cuma ingin menonjolkan 4 isu utama yang begitu menggamit dewan pada hari tersebut:-

1. Keruntuhan Sistem Kapitalisma
TGHH menyebut krisis ekonomi yang sedang dihadapi dunia sekarang ini merupakan tanda2 keruntuhan sistem Kapitalisma barat. Sepertimana sistem Kommunisma telah runtuh, begitu juga sistem Kapitalisma yang berlandaskan riba sedang menuju keruntuhan.

Point ini amat saya setujui dan amat sesuai sebagai muqaddimah ucapan TGHH. Sepertimana diketahui umum, sistem kapitalisma ini sememangnya telah melalui beberapa modifikasi. Modifikasi-modifikasi ini hanya mampu melanjutkan hayat sistem Kapitalisma ini buat beberapa ketika tetapi tidak mungkin menghalang keruntuhannya. Modifikasi yang telah dilakukan bertujuan menyuntik aspek kemanusian ke dalam satu sistem ekonomi yang berpaksikan ketamakan manusia untuk memiliki dan menambah pemilikannya.

Modifikasi-modifikasi ini tidak akan berjaya akhirnya kerana Kapitalisma diasaskan konsep yang tidak tepat berhubung kewujudan manusia. Modifikasi yang dilakukan merupakan modifikasi struktural semata-mata yang tidak merubah asas dan isi Kapitalisma itu sendiri.

Islam bermula dengan konsep yang tepat berhubung kewujudan manusia di mana manusia dilihat sebagai makhluk yang mulia, lebih mulia dari para malaikat. Matlamat hidupnya begitu terhormat dan bermakna, iaitu untuk mencari keredaan Illahi. Sistem ekonominya, sosialnya dan politiknya dibina atas asas yang seperti ini dan oleh itu ia mampu menghasilkan keadilan dan kasih sayang sesama manusia.

2. Penyatuan Manusia
TGHH menyebut, “menyatukan manusia bukan seperti menyatukan batu. Manusia ada perasaan, ada hati, tidak boleh disatukan dengan paksaan. Manusia akan hanya mampu disatukan dengan keadilan”. (au kama qall)

Ini juga merupakan point yang amat penting. Ianya merupakan konsep asasi yang membezakan pendekatan Islam dari pendekatan yang lain. Keadilan merupakan paksi perpaduan dan kemakmuran. Apabila keadilan terlaksana, maka semua manusia, kecuali yang ingin menzalimi sesama manusia, akan merasa puas-hati dan gembira. Bila seseorang dilayani dengan adil, sebagai manusia yang bermaruah, mempunyai hak, tanpa mengambil kira kaum atau bangsa, dia akan merasai dirinya dihormati, dikasihi. Dalam keadaan sebegini, penyatuan hati2 manusia boleh terjalin.

Ucapan TGHH menarik perhatian semua, orang Melayu dan yang bukan Melayu. Ianya merupakan polisi speech yang menunjuk jalan keluar dari kemelut perkauman yang sedang diusahakan oleh UMNO/BN. MP2 dari PKR dan DAP menepuk meja tanda sokongan. Pada pandangan yang bukan Islam, selama ini orang Melayu sentiasa memainkan isu perkauman, lebih2 lagi apabila tersepit. Oleh itu mereka terpegun dengan keterbukaan TGHH yang mampu menzahirkan perbezaan ‘sikap Islam’ dan ‘sikap Melayu’.

3. Kedudukan orang-orang bukan Melayu

TGHH menyambung, “lupakan soal siapa datang dulu dan siapa datang kemudian. Ini merupakan persoalan yang hanya menyebabkan kita bertelagah di antara satu sama lain sedangkan hakikatnya kita semua rakyat Malaysia dan kita kena hidup bersama”. (au kama qall)

Ucapan ini lagilah menyebabkan semua tersentak, terpegun. Terserlah sikap Islam yang begitu terbuka dan mementingkan keadilan dan kemulian untk semua manusia. Hakikatnya semua kaum di Malaysia adalah ‘mangsa’ sejarah. Tidak mungkin masa itu diputarkan kembali (turn back the clock) kepada zaman silam. Hakikatnya kita berada di masa sekarang, suasana sekarang dan keadaan sekarang. Samada kita tangani apa yang ada pada kita secara positif dan membina atau kita menipu diri kita dengan melaung2kan satu bentuk penyelesaian yang tidak mampu menjamin keadilan untuk semua.

TGHH menyebut bahawa keadilan semestinya mengambil kira hakikat orang Melayu majoriti dan kedudukan orang Melayu perlu dilindungi. Namun, tambah beliau, ini tidak bermakna kaum dan bangsa lain tidak mendapat pembelaan.

4. Cerdik tak boleh ditumpang bodoh tak boleh diharap
TGHH menyebut dalam soal modal insan, jangan sahaja ingin membina manusia berilmu. Kita mesti inginkan manusia berilmu yang berakhlak. Jangan jadikan jenis manusia yang mementingkan duit sahaja. Isu membina modal insan mesti mengandungi juga di dalamnya persoalan akhlak. Jangan jadi seperti apa yang disebutkan di atas, “yang cerdik tidak boleh ditumpang, yang bodoh tidak boleh diharap”.

Menurut TGHH, Malaysia perlu belajar dari pengalaman Jepun, German, Taiwan dan sebagainya. Bagaimana, walaupun mereka tidak dianugerah kekayaan semula jadi seperti kita, namun mereka telah memecut jauh ke depan. Ini di antara lain adalah disebabkan mereka membentuk manusia berilmu dan berakhlak walaupun bukan akhlak islami tetapi akhlak patriotisma yang mementingkan pengorbanan untuk masyarakat dan Negara. Bukan main sapu seorang diri.


Banyaklah lagi yang disebut beliau. Yang penting sikap Islam yang berbeza dengan sikap Melayu menjadi jelas. Yang penting juga kewibawaan TGHH sebagai Presiden PAS dan salah seorang pemimpin utama PR semakin terserlah. Ramai yang memuji ucapan beliau dan sangkaan masyarakat bukan Islam terhadap beliau jelas terbukti meleset. PAS mula dilihat sebagai parti alternatif yang mampu memerintah Negara ini dengan disokong semua pihak. Ini berlaku disebabkan penegasan terhadap prinsip keadilan untuk semua oleh TG Presiden.

Sepanjang ucapan TGHH, semua mendengar dengan penuh teliti. Tiada yang menyampuk dan tiada yang mengejek. Semua tahu cara menghormati ucapan yang terserlah keikhlasan dan keilmuan di dalamnya. Sehabisnya ucapan beliau, TGHH beredar keluar kerana ingin ke IJN untuk membuat pemeriksaan. Yang dilaluinya menghulurkan tangan, bersalaman dan mengucapkan tahniah atas ucapan beliau.

Sebaik sahaja TGHH menamatkan ucapan beliau, saya berasa amat bangga dan gembira. Ini adalah kerana hari itu PAS bukan sahaja telah meninggalkan kesan yang begitu bermakna kepada sistem demokrasi berparlimen negara Malaysia, tetapi juga telah berjaya menyerlahkan kebenaran PAS For All.

WalLahu ‘Alam

TAHNIAH TUAN GURU PRESIDEN

Transkrip penuh Ucapan Dato Seri Abdul Hadi Awang pada 15 Oktober 2008

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat, seluruh pegawai kerajaan dan para pemerhati, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen PAS Marang

Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen PAS Marang

Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk sama-sama ikut serta dalam perbahasan Belanjawan Bajet Tahun 2009, satu perkara yang penting dan menjadi perhatian di seluruh negara. Insya-Allah saya akan tumpukan kepada perkara prinsip dan konsep serta akan menyebut contoh-contoh yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dan penekanan supaya pihak kerajaan dapat menunaikan tanggungjawab dengan tepat dan berjaya dan kita sama-sama bertanggungjawab di dalam menunaikan amanah memimpin negara.

Bukan sahaja kerajaan termasuk pembangkang kerana sebarang kesan daripada kegagalan akan menimpa semua. Faedah kejayaan akan dapat kepada semua. Kita tidak dapat menafikan bahawa ketika belanjawan dibentangkan, kita menghadapi situasi krisis ekonomi dunia yang gawat dan menjadi ancaman besar kepada negara walaupun ada pemimpin-pemimpin kerajaan membuat kenyataan seolah-olah kita tidak ada apa-apa kesan kerana ekonomi kita kukuh dan kuat.

Namun demikian, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapannya menyatakan bahawa supaya kita berjaga-jaga kerana akan menerima kesan dan tempiasnya. Ini kerana kita Malaysia berada di dalam dunia, bukan di angkasa lepas. Apa yang berlaku di dalam dunia, kita akan menerima kesan-kesannya kecuali kita sebuah negeri yang duduknya di angkasa lepas.

Negara akan menghadapi cabaran besar apabila bajet dibentangkan dalam suasana krisis ekonomi. Bermula daripada sebab krisis harga minyak dan diikuti dengan krisis kewangan
Keadaan ini sudah tentu mewajibkan kerajaan supaya lebih berhati-hati sama ada dalam mengkaji semula dasar yang lemah dan polisi yang masih dibebani oleh unsur-unsur negatif yang boleh menggagalkan perancangan yang diatur dengan sebegitu rupa.

Kita tidak dapat menafikan walaupun kerajaan tidak bersedia untuk membaiki atau membentang semula bajet ini. Walau apa pun, kerajaan hendaklah bersedia dan menangani masalah-masalah yang akan berlaku. Sudah tentu kita akan membincangkan semula peruntukan-peruntukan tambahan yang akan menjadi bebanan yang besar kepada negara.

Sebenarnya apa yang berlaku ketika menghadapi kesan keruntuhan sistem liberal kapitalisme barat setelah di abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan komunisme yang menghancur leburkan negara besar Soviet Union. Sehingga negara-negara komunis terpaksa melakukan reformasi yang mengubah dasar dan polisi daripada ajaran komunisme yang sebenarnya walaupun selama ini mereka memaksa negara-negara lain supaya mengikut mereka.

Berlakunya peperangan dan pemberontakan yang mengorbankan berjuta-juta manusia termasuk di Negara kita ini pun kerana mahu menegakkan teori komunisme, tiba-tiba ternyata agak meleset.

Hari ini kita melihat tanda-tanda jelas dan besar, kegagalan liberal kapitalisme ditunjukkan oleh sendiri oleh Amerika yang menjadi ‘Ah Long’ kepada dunia yang rakus dan memaksa negara-negara dunia supaya mengikut cara-cara, amalan-amalan dan polisi mereka dan menyerang negara-negara yang tertentu untuk kepentingan ekonomi mereka walaupun mengorbankan ratusan ribu dan berjuta rakyat.

Pada hari ini, kita melihat ‘Ah Long’ gergasi itu sedang menunjukkan tanda-tanda untuk tersungkur. Walau apa pun, kita wajib mengambil iktibar dan pelajaran daripada peristiwa lama
dan baru. Kepada umat Islam yang membaca Al-Quran, Al-Quran memaparkan sejarah kuasakuasa besar dunia yang terdahulu. Punca kejatuhannya ialah kerana kezaliman, kejahatan dan penyelewengan walau bagaimana kaya dan kuat sekalipun kuasa-kuasa besar itu. Kaum Aad, kaum Samud, kaum Luth, kaum Firaun dan kaum-kaum yang lain.

[Membaca sepotong ayat Al-Quran]. “Adakah kamu tidak lihat, tidak faham, tidak mengerti apa yang telah berlaku kepada kaum Aad, kaum Samud, kaum Firaun? Begitulah kaum-kaum yang lain yang hebat tamadunnya. Bangunan-bangunan yang hebat, tinggi mencakar langit, tiang-tiang yang besar menggunakan tiang-tiang balak batu, bukan balak kayu. Semuanya musnah bila berlakunya penyelewengan kejahatan sama ada aqidah, politik, ekonomi, akhlak dan lain-lain”.

Semuanya itu sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua, termasuk kerajaan yang memerintah, kita hendaklah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Keruntuhan liberal kapitalisme menunjukkan kebebasan yang mencetuskan perlumbaan dan persaingan yang diuaruarkan boleh memajukan ekonomi tetapi mengikut hawa nafsu tanpa batas.

Berlakunya penindasan dan membawa keruntuhan kepada diri sendiri. Di antara aspek penting yang menjadi amalan mereka ialah riba yang menjadi dosa besar di dalam ajaran Islam. Riba ada dua aspek yang menjadi kebanggaan ekonomi barat dan itulah yang meruntuhkan ekonomi itu sebenarnya.

Allah Taala telah menyatakan, “[Membaca sepotong ayat al-Quran]”. “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan riba itu, tidaklah mereka bangun daripada kubur mereka bila mereka dibangkitkan, mereka bangun laksana orang gila yang dirasuk oleh syaitan.” Mereka berlagak macam syaitan dalam kehidupan dunia ini, dengan kerakusan untuk mengejar kemajuan ekonomi tanpa mengira orang lain. Mereka berkata riba macam jual beli juga, padahal Allah mengharamkan riba dan menghalalkan jual beli.

Pernah berlaku Bank Bumiputra yang tinggal nama, barang kali generasi yang akan datang akan lupa nama Bank Bumiputera ini. Hilangnya nama Bank Bumiputera dan terpaksa bertongkat dengan bank lain digabung, dihilangkan namanya tidak lain da tidak bukan kerana pinjaman-pinjaman yang berasaskan riba yang dianggap boleh membawa keuntungan, akhirnya terlalu ramai tidak bayar.

Yang pinjam ialah pemimpin-pemimpin, orang-orang kenamaan. Inilah yang berlaku dalam ekonomi Amerika. Didedahkan sejak tahun 60-an lagi. Belanjawan Amerika mengalami defisit yang begitu parah. Pada zaman Johnson 1964 hingga 1968 ialah USD44.8 bilion; zaman Nixon1969 hingga 1974 ialah USD70 bilion; zaman Ford USD1.79 bilion; zaman Carter USD226.9 bilion; zaman Regan USD1.3 trilion; zaman Bush, USD 1.4 trilion; dan selepasnya 3.7
trilion; dan trilion, trilion lagi.

Kerajaan boleh menyediakan wang dengan banyak trilion, kalau tak cukup pinjam dengan bank. Bukan sahaja kerajaan pinjam, tokoh-tokoh kerajaan pun pinjam, kroni-kroni dia pinjam, akhirnya kewangan menjadi merudum. Ini yang berlaku, yang kita perlu mengambil iktibar.

Oleh kerana itu, saya mengalu-alukan pihak kerajaan yang meneruskan usaha perbankan Islam dan muamalah Islam tetapi ianya hendaklah dilakukan dengan cara yang bersungguhsungguh, menggalakkan mudarabah, qirat, Al- QardhulHasan pinjaman yang ada faedahnya tetapi bertimbang rasa antara peminjam dan yang memberi pinjam.

Keuntungan sama-sama adil, kerugian sama-sama ditanggung. Biar ada tanggungjawab dan semangat tanggungjawab ini melahirkan hasil kerja yang bertanggungjawab dan tidak melepas tangan yang boleh memajukan perjalanan kewangan dan memajukan muamalah itu sendiri. Ini hikmah daripada amalan Islam. Saya berbalik kepada belanjawan yang dikemukakan dalam merealisasikan Bajet 2009 kerajaan jangan lupa teras Rancangan Malaysia Kesembilan.

Walaupun terdapat konsep penekanan yang sama dalam bajet 2009 ini dengan 2008 pembasmian kemiskinan, peningkatan taraf hidup rakyat, kesaksamaan sosioekonomi dan modal insan.

Menunjukkan bahawa semua konsep ini masih belum berjaya yang perlu diteruskan dalam pembasmian kemiskinan jangan hanya mengemukakan peruntukan-peruntukan jangka pendek dan saya lihat seolah-olah pembentangannya adalah secara jangka pendek sahaja, tidak melihat jangka panjang. Saya minta…pepatah yang ‘mengatakan lebih baik bagi pancing daripada bagi ikan’ kalau bagi ikan lepas habis ikan dia minta ikan lagi, bagi pancing dia boleh cari ikan sendiri lepas itu.

Dalam menangani masalah kemiskinan kerajaan jangan hanya menyediakan data jumlah kemiskinan yang diminta dalam Dewan di akhir tahun. Sediakan wang dahulu lepas itu baru cari kemiskinan. Kadang-kadang sumbangan yang diberi tersasar, tidak sampai ke matlamat orang-orang miskin itu sendiri. Kerajaan mesti membuat kajian yang terperinci berapa jumlah orang miskin yang dapat dipulihkan, berapa jumlah orang miskin yang tidak ada harapan untuk dipulihkan, Orang kurang upaya, orang cacat ada harapan untuk dipulihkan berapa jumlah.

Jangan semuanya tak dapat dipulihkan, sepanjang masa boleh subsidi, seolah-olah kita mahu orang ini wujud supaya senang dapat undi dalam masa pilihan raya, ini tidak bertanggungjawab…

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: [Bangun]
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Kita mesti menunaikan tanggungjawab, mesti ada angka berapa ramai yang boleh dipulihkan…

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Marang. Adakah Yang Berhormat Marang bersetuju kalau disebut tentang mentaliti subsidi sejak daripada 50 tahun BN memerintah menyebabkan kemiskinan bertambah teruk terutamanya. Bukan sahaja berlaku di Sabah dan Sarawak tetapi di peringkat negeri Kedah di Padang Terap, Sik, Baling ini semua apa yang kita lihat mentaliti yang mahukan subsidi menyebabkan mereka terus miskin. Adakah Yang Berhormat Marang bersetuju?

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Saya bersetuju dengan huraian-huraian. Ada mereka yang mesti diberi subsidi sepanjang masa, yang tidak ada harapan untuk dipulihkan, Orang kurang upaya, ibu tunggal, yang tidak ada tempat bergantungan, yang sudah tua, dan lain-lain. Dalam keadaan-keadaan darurat ketika menghadapi inflasi, mereka yang tinggal di kawasan-kawasan bandar, setinggan, yang miskin ada insentif daripada kerajaan sementara waktu bukan selama-lama dan ada yang selama-lama dan mestilah diperincikan.

Dalam masa yang sama kita mesti ada angka berapa orang miskin yang sudah dibebaskan, tidak perlu lagi bantuan. Kadang-kadang yang sudah dibebaskan juga ada buat bantuan, dan bantuan ini menjadi masalah. Kalau bagi duit hari raya, datang dengan kereta letak jauh-jauh. Ini berlaku di kawasan saya, di negeri Terengganu, di negeri lain pun ada berlaku macam ini. Oleh kerana itu, mesti terperinci jumlah ini baru diperuntukkan dulu baru cari.

Mereka yang menjadi sasaran ini ialah petani, nelayan, buruh, penganggur dan berlakunya ketirisan dalam menyampaikan bantuan-bantuan ini. Seperti yang saya sebut tadi bantuan yang diberi kepada yang tidak berhak, penyalahgunaan bantuan, contohnya subsidi diesel, petrol yang diberi baru-baru ini bukan dapat kepada nelayan tetapi lintah-lintah darat, tauke-tauke, jual di laut, nelayan menjadi pekerja untuk menjual diesel yang dijual di laut, ini berlaku. Walaupun ada tindakan-tindakan tetapi amalan ini berterusan, dalam masa yang sama kerajaan mesti mendidik masyarakat untuk membantu.

Bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, kalangan-kalangan swasta mesti dilibatkan dalam membantu menangani masalah kemiskinan. Cuba menjadi tanggungjawab bersama, tanggungjawab sosial, tanggungjawab masyarakat.

Kerajaan jangan hanya memberi kontrak, memberi projek, memberi itu sahaja tetapi galakan-galakan kepada mereka yang melakukan kerja-kerja kebajikan, yang berjaya dalam projeknya, yang berjaya dalam khidmat kepada masyarakat.

Yang kedua, penekanan dalam peningkatan taraf hidup rakyat dan kuasa beli. Kita dilanda oleh keadaan inflasi yang begitu rupa. Kita melihat negara lain, negara Barat, Singapura yang dekat dengan kita walaupun berlaku inflasi tetapi kadar gaji yang sekurang-kurangnya boleh menghadapi masalah kehidupan. Apa yang berlaku di negara kita ini, kadang-kadang pendapatan tidak mencukupi. Ini melahirkan gejala-gejala sosial.

Kerajaan mesti bersungguh dalam menangani masalah ini dan mesti melihat supaya gaji kakitangan rendah, buruh dan sebagainya supaya pendapatan di kalangan orang miskin dipastikan mampu sara hidup. Saya faham mungkin ada perbezaan di antara kawasan Bandar seperti Kuala Lumpur dengan bandar yang jauh.

Kerajaan boleh memberi insentif, memberi sumbangan untuk mereka yang dihimpit oleh kawasan-kawasan yang tertentu dan kerajaan mesti membuat kajian dalam sistem gaji dengan cara yang tepat bukan dengan cara yang tidak tepat supaya hilangnya masalah taraf hidup yang tidak seimbang dengan inflasi.

Masalah pengangguran, walaupun di sana ada program modal insan untuk melahirkan tenaga mahir di kalangan terpelajar tetapi berlakunya pengangguran. Pengangguran ini berlaku sama ada tidak ada peluang pekerjaan ataupun tidak ada semangat, semangat tidak ada. Keduadua aspek ini hendaklah diberi perhatian, yang tidak ada peluang pekerjaan mesti diberi peluang pekerjaan, mewujudkan suasana yang memberi peluang pekerjaan, yang tidak ada semangat dipulihkan semangatnya termasuklah penjenayah, penagih dadah.

Saya mencadangkan supaya mereka bukan sahaja dihukum dengan hukuman sebegitu rupa sahaja. Penagih dadah, penjenayah ini dihukum dan dididik dengan pekerjaan-pekerjaan ataupun dalam masa mereka dihukum memberi hasil dan sumbangan kepada negara.

Masalah pekerja asing hendaklah dengan cara yang sistematik jangan dengan cara yang tidak teratur. Kerana cara yang tidak teratur, kedatangan pekerja asing yang tidak perlu yang menyebabkan hilangnya pekerjaan kepada rakyat. Kadang-kadang kerana adanya kalangan yang melihat upah yang murah, kerana mahu upah yang murah keuntungan yang besar ambil pekerja asing tanpa mengambil kira penduduk tempatan sendiri.

Jangan kita jadi seperti kera di hutan disusukan, anak diriba dilemparkan. Kerajaan mesti mengambil perhatian juga, begitu juga pekerja asing yang membawa gejala social hendaklah ditapis dengan sebaik-baiknya dan yang ketiga dalam konteks belanjawan ini ialah kesaksamaan sosioekonomi.

Kita jangan terus-menerus dengan sistem yang diamalkan di zaman penjajahan dahulu. Negeri-negeri di Pantai Timur sebagai contoh diabaikan. Negeri-negeri di Malaysia Timur diabaikan. Banyak industri, pembangunan-pembangunan yang memberi pulangan yang lumayan, yang mengukuhkan ekonomi di negeri Pantai Barat, kemudahan-kemudahan pelabuhan dan lainlain Pantai Timur dan Malaysia Timur ditinggalkan.

Kita melihat sendiri bagaimana amalan projek-projek hanya digalakkan dalam masa pilihan raya. Apabila ada pilihan raya kecil berebut-rebut hendak buat jalan. Kadang-kadang rakyat bercita-cita supaya wakil rakyat itu mati cepat apabila dapat projek. Ini malang, dia tidak bertanggungjawab.

Di Malaysia Timur, di Sabah, di Sarawak saya melawat beberapa kali. Walaupun kita telah mencapai kemerdekaan 50 tahun, Malaysia Timur hampir 50 tahun, masih banyak kawasan yang tidak ada infrastruktur. Melalui sungai tidak ada jalan raya, tunjuk muka apabila ada pilihanraya, selepas pilihan raya dilupakan. Apa yang berlaku adalah aktif di dalam menebang balakbalak sahaja, mengambil hasil bumi sahaja tetapi rakyat dibiarkan.

Penduduk-penduduk asli, jangan jadikan penduduk asli ini barang warisan untuk dipelihara selama-lamanya. Seolah-olah kita bangga menjadi barang warisan. Orang Iban, orang Kadazan, orang yang asal duduk di kawasan ini, biar pelancong datang tengok. Kita mesti ada tanggungjawab, memasyarakatkan mereka, majukan mereka, jangan dibiarkan begitu.

Dalam menangani masalah pengagihan pendapatan ini kita tidak menafikan kaum bumiputera adalah majoriti kalangan miskin, oleh kerana itu mereka diutamakan di peringkat ini. Kaum bumiputera dengan jumlah yang besar tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh mengabaikan kaum yang lain, yang juga menjadi sebahagian daripada kita, rakyat negeri ini.

Kaum Cina yang tinggal di kampung-kampung baru, kaum India di estet, mereka adalah rakyat kita, jangan duduk berbalah siapa yang asal duduk di sini dahulu, hilangkan perbalahan itu. Kita hendaklah menerima hakikat, ini semua adalah rakyat negara kita… [Tepuk] Jangan duduk bertengkar. Kita terima hakikat ini. Ini cara kesaksamaan sosioekonomi yang perlu dilaksanakan.

Mengeratkan perhubungan kaum, mewujudkan perpaduan rakyat, hendak menyatukan manusia bukan macam hendak menyatukan batu bata, bangunan rumah. Manusia bukan batu, manusia bukan kayu. Manusia ada perasaan, ada hati nurani. Hendak menyatukan mereka bukan diambil kira isi perut termasuklah isi hati dan perasaan, bukan perlu dilayan perut dan kemahuan perut sahaja. Perasaan hati juga dengan keadilan yang sebenarnya, ini yang menyatukan rakyat… [Tepuk]

Modal insan, insan adalah manusia. Manusia mempunyai naluri dan fitrah yang tersendiri. Untuk membangun manusia mestilah membangun fitrahnya, membangun sifat-sifat semula jadinya. Manusia ada roh, manusia ada jasad, manusia ada perasaan individualistik, manusia hidup bermasyarakat. Islam memberi perhatian kepada semua aspek ini. Islam berbeza dengan ajaran yang lain, yang memberi penekanan kepuasan jasad sahaja.

Ada yang memberi penekanan kepuasan roh sahaja tanpa mengira jasad, hendak menjadikan manusia macam malaikat. Ada yang memelihara kepentingan masyarakat sehingga menghapuskan hak-hak individu macam komunisme. Ada yang memelihara kepentingan individu tanpa masyarakat. Aspek-aspek kemanusiaan ini perlu diambil kira dalam semuanya dalam membangun modal insan.

Bukan sahaja dibangunkan kesihatannya, mesti dibangunkan akalnya dengan ilmu, ilmu pengetahuan mematangkan akal dan ilmu pengetahuan yang memahirkan kehidupan diri. Dalam masa yang sama, ilmu yang membuahkan akhlak yang mulia, ilmu yang melahirkan semangat patriotik. Ini perlu diambil kira atau kita hanya memberi penekanan dalam ilmu-ilmu pengetahuan akal sahaja, tanpa akhlak dan tanpa semangat patriotik, manakan mendatangkan hasil yang sebenarnya.

Walaupun ramai mereka yang lulus universiti, tapi ramai yang menunggu kerja kerajaan sahaja, tak sanggup nak bekerja sendiri. Yang bekerja, menyeleweng pula, jadi penipu. Cerdik tak boleh tumpang, bodoh tak boleh harap. Ini berlaku dalam masyarakat, mendidik akhlaknya tahu dosa dan pahala, kena dan sabar, adil dan zalim, jangan kita didik rakyat menjadi rakyat, menjadi rakyat mengukur benda yang salah, yang diukur siapa bagi duit?

Sehingga minda kita nak berpolitik pun dipengaruhi politik wang, bukan politik memilih siapa yang layak. Dalam pilihan raya pun sama, memilih pemimpin yang dapat bagi wang, bagi benda, bukan pemimpin yang bertanggung jawab. Ini kerana kita tidak mendidik manusia membangun manusia dengan akhlak. Dengan ilmu saja tidak boleh, mesti dengan akhlaknya. Dengan semangat patriotik, sangat malang, kita mengajar anak-anak kita seolah-olah wira kita hanya tahun 1946.

Padahal kita menentang penjajah sejak kedatangan Portugis dan Belanda. Di mana pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah sejak zaman itu hilang, seolah-olah keperkasaan kita, hanya tahun 1946 selepas mencapai kemerdekaan dihilangkan.

Sejarah-sejarah silam yang sepatutnya membangkitkan semangat, dalam menangani modal insan ini, melahirkan semangat patriotisme. Kita belum belajar dari Jepun yang ranap dalam perang dunia yang kedua. Jerman yang roboh dalam perang dunia kedua bangkit menjadi kuasa besar ekonomi dan politik.

Taiwan, China bangkit dengan cara mereka sendiri, di samping mereka mendidik rakyat dengan ilmu dan semangat, untuk menimba ilmu dari mana sahaja datangnya. Ini kerana di nyatakan oleh Nabi s.a.w… [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan orang yang beriman” di mana saja dia jumpa, dia mesti ambil. Tamadun Islam, belajar dulu Tamadun Cina, Tamadun India, Tamadun Rom, Tamadun Parsi, Tamadun Mesir, diambil semua yang menjadi manfaat, diterjemahkan dalam bahasa Arab. Untuk mempelajari tamadun lain dengan bahasa masing-masing, untuk membanyakkan tenaga mahir yang melahirkan tamadun bangsa itu mestilah bangsa ibunda sendiri.

Jepun meramaikan manusia-manusia yang di bangun yang dibina dengan bahasa Jepun. Taiwan dengan bahasa Cina, kita belajar Taiwan dengan kemajuan dia, bukan dengan bertumbuk dalam Parlimen. China bangkit dengan bahasa Cina, dia nak pergi luar, dia belajar dengan bahasa Inggeris, bahasa Perancis. Begitu juga negara kita, mestilah kita memperkasakan bahasa kebangsaan supaya menjadi bahasa ilmu, bahasa ibunda. Jangan dihalang belajar bahasa ibunda masing-masing. Ini kerana masing-masing bangsa ada bahasa dia sendiri, dia selesa dengan bahasa dia,dan kita telah berjaya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan.

Akhir-akhir ini saya melihat bahasa kebangsaan tidak diperkasakan, dilekehkan. Kita lihat bagaimana pemimpin Jepun buat perjanjian dengan bahasa Jepun terjemah dengan bahasa lain, kalau silap, mesti balik dengan bahasa asal dia. Dia boleh kelentong ikut bahasa dia. Inggeris dengan bahasa Inggeris, Perancis dengan bahasa Perancis. Kita dengan bahasa orang, orang kelentong kita, ini yang berlaku. Tidak menjadi salah kita banyak belajar bahasa asing, tapi dalam masa yang sama nak memperkasakan bangsa kita sendiri mestilah dengan bahasa kita sendiri.

Dalam memantapkan ekonomi rakyat dan negara, pembangunan sektor sokongan dan pembangunan industri logistik amat penting. Kita melihat sebagai contoh, saya orang kampung, melihat sendiri bagaimana petani nak bertanam, menghadapi masalah harga baja yang mahal. Penternak nak pelihara binatang, harga makanan binatang ternakan mahal.

Orang yang tinggal di Pantai Timur sebagai contoh, terpaksa beli dari Johor, dari Pantai Barat. Mengapa tidak dibina di Pantai Timur, di Malaysia timur, dibanyakkan? Begitulah juga kemudahan dalam bangunan kilang besi, kilang simen, teknologi macam PERWAJA yang dah
diambil tindakan, dah meninggal dunia, tak tahulah apa jadi. Kita mahu kilang besi, kilang simen yang benar-benar memberi kemudahan kepada industri-industri yang lain untuk memantapkan
ekonomi kita.

Industri Kecil Sederhana atau IKS perlunya ada sokongan dan hiliran. Kerajaan perlu mempelajari lebih kesilapan-kesilapan yang lalu. Sebagi contoh, rakyat digalakkan menceburi industri pertanian di pasarannya tidak mencukupi menyebabkan berhenti di tengah jalan. Di Pantai Timur, sebagai contoh pertanian industri rozel ditanam begitu banyak, oleh sebab pasarannya tidak ada, akhirnya petani menjadi mangsa, pengusaha kecil menjadi mangsa.

Saya harap yang kena ini juga jangan jadi begitu, saya dah beri peringatan dalam ucapan saya yang lalu. Mestilah projek hilirannya, pasarannya disusun dengan baik, dengan bertanggung jawab dengan berjaya, dan kerajaan wajib memanfaatkan semua hasil bumi. Kurnia Allah SWT, Allah SWT bagi kita sumber hasil bumi yang banyak, sumber petroleum, sebagai contoh, dengan Petronas hendaklah ditingkatkan dan dilaksanakan dengan betul. Sumber hasil galian ini dipelihara dengan sebaik-baiknya dengan cara yang ekonomik, jangan rakus dengan mengeluarkan dengan sebanyak-banyak, mesti ada simpanan kita dengan sebaiknya.

Dalam masa yang sama, hasil daripada itu hendaklah diagih kepada program-program yang lain yang akan membantu negara bila sumber ini tidak ada lagi.

Saya menghargai Petronas melaksanakan projek-projek sehingga peringkat antarabangsa hingga di luar negara. Akan tetapi mestilah berhati-hati, saya dapat satu berita ada projek di Mauritania. Satu kompeni dibeli oleh Petronas, saya tak tahu betul ke salah, biar kerajaan jawab. Dikatakan kompeni ini sakit, tenat, kita beli yang tenat ini, orang lain tidak mahu beli. Walaupun penasihat-penasihat yang pakar dalam Petronas menasihatkan jangan beli, tapi yang lebih atas, suruh beli juga. Mungkin ada lagi tempat-tempat lain, kita tak mahu hal-hal seperti ini berlaku. Komoditi, pertanian, penternakan hendaklah ditingkatkan dengan cara sebaikbaik.

Kita mempunyai tanah yang luas terutama dalam menghadapi krisis makanan, hendaklah diselaraskan dengan Dasar Jaminan Makanan Negara dengan bergantung import. Kita melihat negara-negara mahu dalam dunia, negara industri besar, mereka memberi perhatian kepada makanan yang cukup. Di Amerika, di England, Jerman, di Perancis, kalau kita melawat di sana, kita melihat sendiri mereka mempunyai sumber-sumber pertanian yang cukup untuk sara hidup negeri mereka sendiri sekiranya berlaku apa-apa hal, berlaku apa-apa perkara darurat.

Saya pernah menyebut perkara ini dalam Dewan ini dalam tahun 90-an tetapi Menteri Pertanian di masa itu mengatakan tidak ekonomik. Lebih baik kita beli daripada luar, import. Lebih baik kita buat program pertanian di luar, bawa balik ke negara kita. Dipandang lekeh begitu saja.

Hari ini baru tahu bila kita menghadapi krisis makanan. Tak apalah, kita boleh perbetul balik dalam perkara ini. Jepun sebagai contoh, memberi subsidi 99% kepada petani. Kerajaan sanggup menghabiskan wang untuk menyediakan jaminan makanan negara. Ini sebagai satu contoh. Tanah di negara kita luas, tanah terbiar masih banyak. Dalam masa yang sama untuk menghadapi krisis ekonomi, diharap kerajaan supaya mengalih pergantungan kepada dunia Barat.

Alihkan pergantungan kita kepada tolong-menolong di kalangan sesama sendiri, di kalangan negara Islam dan negara serantau. Sudah tiba masanya kita menamatkan pergantungan dalam tukaran antarabangsa kita dengan dolar. Patutnya negara yang sedang membangun, negara serantau dan negara Islam ada asas sendiri. Mata wang sendiri menjadi pergantungan kepada mereka supaya kita tidak terikut-ikut dengan gejala ekonomi yang berlaku pada kuasa-kuasa yang lain.

Seterusnya saya ingin menarik perhatian, semua perkara-perkara ini dapat dilaksanakan dengan jaya sekiranya kita dapat membangun insan dalam erti kata yang sebenar. Dengan caracara yang saya sebut yang kita mengubati penyakit-penyakit yang sedang berlaku dalam diri kita.

Di antaranya ialah krisis keyakinan, kita sedang menghadapi krisis keyakinan dalam diri kita sendiri. Tak percaya pada diri kita sendiri, tak percaya pada kekuatan dan sumber yang ada pada kita sendiri. Krisis keyakinan perlu diselesaikan.

Maka pendidikan, pelajaran, penerangan perlu memainkan peranan dalam mengubati krisis keyakinan ini. Di antara yang menimbulkan krisis keyakinan ialah tidak percaya kepada pentadbiran kerana banyaknya rasuah, tidak percaya kepada badan kehakiman kerana berlakunya kelakuan-kelakuan tidak senonoh, tak percaya kepada BPR kerana tindakan-tindakan yang tidak berkesan yang tidak boleh mengatasi masalah rasuah. Sepatutnya kadar rasuah makin kurang tapi makin bertambah. Ini semua menghilangkan keyakinan.

SUHAKAM dalam Laporan SUHAKAM supaya kerajaan melakukan reformasi terhadap kehakiman, BPR, media, SPR, undang-undang yang dianggap tidak sesuai seperti ISA, undang-undang pada zaman penjajah kita masih amal lagi. Ini perlu diubah, dipinda pada undang-undang yang adil, yang baik.

Undang-undang hukum gantung sampai mati. Baru-baru ini di peringkat antarabangsa golongan hak asasi manusia menimbulkan hukuman gantung sampai mati, ini hukuman zaman kuno. Masih diamalkan. Undang-undang yang seperti ini hendaklah dihapuskan, ditukar pada yang lain. Bukan tak ada undang-undang langsung. Bukan bermakna kita minta hapuskan ISA bermakna tak ada undang-undang, ada undang-undang.

Buat undang-undang yang lain, yang baik, yang adil, yang sesuai dengan perkembangan masa, yang sesuai dengan kita sudah merdeka. Undang-undang yang menimbulkan rasa tanggungjawab yang tidak menghilangkan kasih sayang antara kerajaan dan rakyat, antara satu sama lain… [Tepuk]

Saya yakin dan percaya sekiranya kita sedia untuk membuat perubahan-perubahan ini, kita berada di negara yang selamat. Kalau kita masih lagi berkeras, tak mahu mengakui kesilapan, kesalahan, tak sanggup nak kembali ke pangkal jalan, maka kita akan menerima akibat malang di samping saya menerima hakikat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri nak mengundurkan diri. Saya berharap Perdana Menteri akan dapat melaksanakan ikrar sebelum berundur. Nak memulihkan kehakiman, nak memulihkan BPR, nak memulihkan banyak perkara lagi.

Mudah-mudahan beliau meninggalkan peninggalan yang baik sebelum mengundurkan diri dan kita sokong sekiranya Perdana Menteri ingin buat perubahan yang sungguh-sungguh… [Tepuk] untuk menyelamatkan negara. Saya rasa itulah ucapan saya. Sekian, terima kasih.

RUJUKAN: 15 Oktober 2008

Wednesday, October 15, 2008

Kenali ITMAM


Tadi ikuti ziarah Pengurusan ITMAM ( Ikatan Madaris Islamiah ) ke Kedah diadakan di Madrasah Mukarimul Akhlak Langgar. Kehadiran sekitar 35 orang termasuk Tuan Guru Hj Mohammad Hj Abdullah, Tuan Guru Hj Abdullah Lebai Samah, Ustaz Sobri , Ust And Raof dan lain - lain termasuk Pimpinan Persatuan Bekas Pelajar Pondok Pasir Tumbuh

Ikuti ITMAM dalam websitenya
http://itmam.iifree.net/dasar.htm

Tuesday, October 14, 2008

Jalan Dakwah


Marilah kita manafaatkan artikel yang terlalu istimewa ini - paksi.net

"Kalau sekiranya jalan yang kamu lalui itu dekat dan perjalanan yang kamu tempuhi mendatangkan banyak keuntungan, niscaya mereka berbondong-bondong mengikutimu, tetapi (jalan dakwah) itu penuh dengan kesusahan…" Surah At Taubah ayat 42.

Jalan dakwah adalah jalan yang panjang dan penuh dengan halangan, rintangan serta ujian. Ianya adalah jalan yang hanya dapat dilalui oleh orang-orang yang dipilih oleh Allah sahaja.

Jalan dakwah hanya mampu dilalui oleh mereka yang mempunyai kekuatan lebih daripada sekedar manusia biasa, kerana ianya membawa amanah Allah yang Maha perkasa. Oleh itu para ulama memberikan karakteristik dan ianya merupakan tabiat jalan dakwah iaitu :

1. Jalan yang panjang. 2. Penuh dengan rintangan. 3. Mempunyai beban yang berat. 4. Hanya sedikit sahaja yang mampu memikulnya.

Kerana tabiatnya yang sedemikian, maka jalan dakwah mempunyai banyak permasalahan, yang ianya menjadi batu ujian bagi sesiapa sahaja yang memikulnya. Diantara permasalahan yang wujud di medan dakwah adalah :

1. Lemahnya Kefahaman.

Islam adalah dien yang syumul, universal. Kerana itu sesiapa sahaja aktivis dakwah mestilah mempunyai persedian yang mencukupi terutamanya dari segi ilmu dan kefahaman tentang Islam. Bagi menjamin islam sebagai agama yang menyeluruh dan universal Allah telah melengkapkan islam dengan syariat dan manhaj, seperti firman Allah SWT :

"… Dan bagi tiap-tiap ummat, kami berikan kepada mereka syariat (panduan) dan minhaj (metod bagi mentathbik syariat)… " surah Al Maidah ayat 48.

Oleh itu setiap aktivis dakwah dituntut bukan hanya mempunyai kefahaman syariat sahaja, tetapi juga perlu untuk memiliki kefahaman manhaj. Kefahaman yang mencukupi tentang syariat dan manhaj dakwah akan memberikan kesan kepada tindakan dan sikap para duat yang sesuai dan munasabah di dalam memperbaiki ummat. Sabda Rasul SAW :

"Jelaskan kepada manusia (Islam ini) sesuai dengan peringkat intelektualiti mereka".

Kefahaman terhadap manhaj yang jelas akan menjadikan duat atau pimpinan dakwah mampu mengatur, mengurus, mengendalikan dan mengawal dakwah sesuai tuntutan syariat serta keadaan realiti masyarakat. Mereka mampu meletakkan halatuju, marhalah, kedudukan serta masa depan dakwahnya. Mereka bijak di dalam memanfaatkan potensi ahli-ahli atau mad'u bagi kepentingan dakwahnya. Mereka tidak mudah diombang-ambingkan keadaan semasa dengan mengikut trend yang terjadi, tetapi ianya sentiasa berpegang kepada tuntutan syariat dan manhaj.

Malangnya, di dalam realiti kehidupan dakwah hari ini, aspek kefahaman bukan menjadi perkara yang utama. Sering di dapati para duat tidak memiliki kefahaman yang mencukupi sebagai bekalan dakwah mereka. Sebahagian besar mereka, mempunyai kefahaman syariat yang mencukupi tetapi ia tidak mempunyai kefahaman manhaj yang mencukupi. Banyak diantara duat yang kebingungan manakala ia mendapat soalan : hendak kemana kita? di mana kita pada masa ini dalam percaturan politik dunia? macamana cara membina bangunan dakwah ini agar ianya seperti yang pernah dibangun oleh Rasul SAW?

Soalan-soalan di atas amatlah sukar untuk dijawab sebab, kebanyakan duat berdakwah menggunakan pendekatan ceramah-ceramah terutamanya dengan topik asas-asas fardhu ain. Para duat mampu memukau mad'u dengan hujah-hujah yang begitu hebat, tetapi kebanyakan mereka idak tahu halatuju dakwahnya. Mereka pergi dari satu surau ke satu surau yang lain, dari satu majlis ke majlis ilmu yang lain. Setiap perubahan yang berlaku terhadap mad'unya tidak mereka hiraukan. Para duat menjadikan mad'u sebagai murid layaknya murid sekolah, dan ikatan antara guru dengan murid terhad dalam masalah ilmu.

Bagi para pimpinan dakwah pula, ramai yang menganggap bahawa gerakan dakwah adalah organisasi moden yang tak berbeza dengan pertubuhan kebajikan atau kelab pelajar. Mereka memimpin gerakan dakwah dengan pendekatan syarikat bisnes atau seumpamanya. Di dalam gerakan dakwah tidak ditumbuhkan suasana ukhuwah, tarbiyah serta hubungan hati, tetapi ia sekedar hubungan pimpinan dan anak buah. Pimpinan tidak mampu memberikan panduan, arahan (taujih), bimbingan (irsyadat) atau bahan tarbiyah yang dapat membina hubungan iman, taqwa dan ukhuwah diantara semua ahlinya. Hubungan yang sedia ada adalah hubungan yang kering, tak ada unsur taaruf, tafahum serta takaful.

Dalam pengalaman di beberapa tempat, pimpinan dakwah bertindak seperti bos yang tidak boleh di celah kekurangannya. Sesetengah di antara mereka pandai bermain politik agar kekuasaan mereka tidak tergugat. Oleh itu sering terjadi proses pelaksanaan dakwah yang pelik dan ganjil boleh terjadi. Mereka mengaku bersistem, walaupun pada kenyataannya tak ada sistem. Dalam pandangan mereka : tak ada sistem itulah sistem. Mereka sengaja membina gerakan tanpa sistem agar mudah mempolitikkan ahli dakwah. Tarbiyah dijalankan dengan pendekatan manhaj yang ganjil dan ramai pimpinan yang tidak melaksanakan tarbiyah. Pimpinan merasa sudah lulus (graduate) dari tarbiyah, sehingga tidak perlu lagi untuk mendatangi program tarbiyah kerana merasa sibuk mengurus perjalanan organisasi yang lebih besar kesannya terhadap dakwah.

Kefahaman terhadap manhaj dakwah yang universal dan sempurna memberikan kesan lahirnya thiqah di kalangan ahli. Sebaliknya, kefahaman yang lemah akan melahirkan konflik dalaman di dalam gerakan dakwah itu sendiri.

Dakwah sedemikian akan menjadi tempat berkumpulnya orang-orang yang mempunyai kepentingan peribadi atau kumpulannya. Pada masa seperti itu, terjadi persaingan tidak sihat di dalam membina gerakan dakwahnya. Mereka saling jatuh menjatuhkan satu dengan lainnya.

Pimpinan sedemikian ia akan sibuk mengurus perkara-perkara remeh, sedangkan amanah dakwah yang begitu besar tidak mendapat perhatian yang mencukupi. Mereka mengendalikan dakwah tanpa sikap yang jelas dan kukuh, tetapi mengikut kehendak nafsu tanpa memperdulikan keadaan dalaman. Mereka tertipu dengan ramainya ahli yang tidak berkualiti sehingga mengukur kejayaan dakwah menggunakan kaedah-kaedah materialistik. Biasanya pimpinan sedemikian bukanlah jenis manusia yang ikhlas bagi menjalankan dakwah tetapi mereka mengambil kesempatan untuk menguasai serta mempolitikkan ketaatan ahli bagi mencapai target-target yang telah mereka tetapkan tanpa memperdulikan kesejahteraan mad'u atau ahli. Para mad'u atau ahli diperah tenaga dan potensinya bagi memenuhi keinginan-keinginan segelintir pimpinan di dalam gerakan dakwah.

Firman Allah : "Wahai nabi kobarkanlah semangat mukmin untuk berperang, jika kamu mempunyai 20 orang yang sabar, kamu akan mengalahkan 200 orang …. " surah Al Anfal ayat 65.

Ayat di atas memberikan gambaran mengenai perlunya membangun kuantiti (20 orang mengalahkan 200 orang) dan kualiti (sabar). Oleh itu, gerakan dakwah di tuntut untuk membina ahli-ahli (kader) yang meningkat dari segi pertumbuhan jumlah (kuantiti) mahupun kualitinya.
Al Quran telah memberikan pengajaran kepada kita melalui firman Allah SWT :

"Dan hendaklah ada (segolongan) ummat di antara kamu yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan mereka itulah yang berjaya." surah Ali Imran ayat 104.

Ayat di atas mengajarkan kepada kita mengenai manhaj dakwah yang berkenaan dengan pembinaan dalaman sehingga gerakan dakwah mempunyai pelapis atau pewaris kepimpinannya. Di sini pula pentingnya tarbiyah dijalankan dengan berkesan.

Pelaksanaan tarbiyah yang kemas serta mempunyai panduan manhaj yang jelas akan mampu melahirkan generasi yang berkebolehan serta mempunyai iman yang mantap. Generasi yang ditarbiyah seperti ini akan sentiasa menghidupkan hari-harinya dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, beribadah serta berukhuwah diantara sesama mereka. Mereka mampu membina hubungan yang mesra dengan sahabat, para duat dan masyarakat dengan menggunakan kaedah-kaedah sunnah Rasul SAW sebagai manhaj di dalam bermuamalah dengan manusia baik muslim mahupun yang non muslim.

Kejelasan manhaj yang ianya didedahkan melalui tarbiyah akan mampu membimbing ahli di dalam membina potensi dan kemampuannya bagi berinteraksi dengan al Quran, as Sunnah dan masyarakat. Sebaliknya manakala para duat dan pimpinan dakwah tidak mempunyai kefahaman manhaj atau merasa tidak memerlukan tarbiyah, maka mereka akan mudah bertindak menyeleweng dari jalan dakwah yang sahih.

Kefahaman mengenai jalan dakwah merupakan satu kemestian di dalam berdakwah agar perjalanannya sentiasa ashalah (murni).

Fikrah Semasa


Dewan Pemuda PAS Pusat

Melakar Pelan Amal Jamaei
Merentas saat payah dan Sukar

Musibah yang paling besar bagi sebuah Gerakan Islam ialah apabila berlaku kerosakan teruk atau kepincangan ketara pada 5 Rukun Amal Jamaeinya.

5 Rukun inilah yang kami jadikan sebagai peringkat atau marhalah wajib lulus oleh semua individu amilin yang memberi intima' kepada Gerakan Islam ini .

Berfungsi sebagai filter besar untuk menilai tahap kelayakan dan keupayaan bagi seorang amilin menapak ke marhalah/peringkat berikutnya seperti Nuqaba' - Naqibun Nuqaba' - Amir Wilayah - Ahli Majlis Syura - Amir Aam .

5 Rukun yang saya maksudkan ini ialah:

Ukhuwwah ( persaudaraan ) ,
as Samu'u wat Taa'ah ( dengar dan taat ) ,
Iltizam ( komitmen ) ,
Tadhiyyah ( pengorbanan )
Wala' ( kesetiaan. )

Alhamdulillah , setelah kita melalui tempoh sukar dan payah kini suasana kian stabil dan tenang . Seperti kita mengambil perjalanan yang jauh dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain , pasti sahaja kita akan melalui beberapa selekoh tajam , kawasan kemalangan , bukit tinggi dan jalan berlubang . Keadaan - keadaan itu membuatkan kita dalam situasi berisiko dan tidak mustahil kenderaan kita mengalami hentakkan yang kuat , terbabas ke bahu jalan dan tersasar melepasi garisan tengah.

Keadaan tersebut memberi kesan kepada pemandu atau penumpang . Mungkin dikalangan mereka pening , mabuk dan terhantuk . Sehinggalah kita melepasi kawasan - kawasan sedemikian , lalu memasuki highway atau jalan lurus yang luas dan baik . Namun , berkemungkinan besar kelak dihadapan , sebelum kita sampai ke destinasi yang dituju , masih banyak kawasan berisiko yang terpaksa kita lalui .

Suatu yang sangat penting bagi kita ialah istiqamah dan iltizam ( komitmen ) . Janganlah kerana halangan dan risiko sedemikian , maka kita tidak meneruskan perjalanan atau membatalkannya sebaliknya sabar menghadapi saat susah dan payah demi sampai ke destinasi dengan jayanya.

Demikianlah pengajaran yang perlu kita ambil sewaktu mengenderai perjuangan besar ke arah mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini . Banyak mehnah dan ibtila' yang pastinya mendatang risiko tinggi kepada para pejuang . Samaada halangan dan cabaran itu datang dari luar atau dalam , ianya menjadi sunnatullah yang suka atau tidak terpaksa dilalui oleh para pejuang.

Istiqamah , iltizam dan sabar menghadapi mabuk dan pening sementara kita melalui saat susah dan payah perjuangan ini menjadi sebahagian syarat untuk kita mencapai kejayaan dalam memikul beban amanah perjuangan suci ini .

Firman Allah swt :

قال قد أجيب دعوتكما فاستقيما و لا تتبعان سبيل الذين لا يعلمون

Telah berfirman ( ALlah swt ) Sesungguhnya aku memustajabkan doa kamu berdua ( Musa dan Harun Alaihimassalam , maka beristiqamahlah dan jangan kamu berdua mengikut jalan orang - orang yang tidak mengerti .

Surah Yunus : Ayat .89

Istiqamah dengan maksud tetap pendirian dengan ketulenan perjuangan dan aktif menggerakkannya dengan tidak mengalah sekalipun perit dan getir menerima musibah di sepanjang perjuangan .

..... dan tidak mengikut haluan atau arah tuju yang menyimpang dari jalan Allah swt. semata - mata kerana terpesona dengan silauan mata benda dunia atau keliru dengan papan tanda arah .

Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengamati pengalaman yang telah kita lalui semalam . Ternyata hari ini kita sangat wajar ( semua anggota Dewan Pemuda ) mempelajari penegasan Allah swt agar kita Istiqamah dan jangan pula kita ubah haluan perjuangan suci ini .

Antara yang sangat mahal dan tinggi nilainya ialah ukhuwwah fillah dikalangan kita . Alhamdulillah saya melihat , biar pun kita mempunyai perbezaan pandangan dalam banyak perkara namun tidak mengheret kita ke kancah pertelingkahan dan perbalahan yang mazmum ( keji ) .

Kebiasaan Dewan Pemuda PAS Pusat , sejurus selesai mesyuarat bulanan , semua exco akan makan tengahari bersama dan solat zuhur berjamaah . Kami juga bersalam - salaman penuh mesra meski pun terus mengutara pandangan yang berbeza dan mencongak strategi yang tidak serupa .

Pun begitu , tidaklah banyak sangat perkara yang berbeza dalam pandangan antara kami para exco DPPP sebagaimana tidak juga banyak congakan yang tidak serupa dalam strategi . Kami sering dapat mencari kata sepakat setelah lama berbincang dengan dada lapang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain .

Mungkin ini juga berkat bacaan al mathurat dan doa rabitah yang di baca setiap kali memulakan mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat . Kalau ada yang nak berbalah pun , hatinya tak sampai untuk berbuat demikian . Kalau ada yang nak bertelingkah pun , jiwa tidak gamak untuk pergi jauh sehingga memutuskan persaudaraan yang dibina .

Akhirnya , salam dan senyum manis menyimpul segalanya . Kita tidak kemana selagi 5 rukun Amal jamaei ini tidak mengalami kerosakan teruk dan kepincangan yang ketara .

Yb Salahudin Ayub selaku Ketua Pemuda dalam mesyuarat yang lepas telah menasihati semua anggota pemuda agar tidak menjadi seperti harimau yang hanya tahu memanjat tetapi tidak tahu turun . ( dengan maksud jangan kita hanya tahu berbalah tetapi tidak untuk kembali berbaik atau damai )

Kem Bina Sakhsiah Siri Ke 5 Di Muassasah Darul Ulum

Terbuka kepada peserta berumur 15-18 tahun.
Selama 21 hari bermula 16 Nov - 6 Dis 2008, bertempat di Pusat Pendidikan Muassasah Darul Ulum dengan kerjasama Unit Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah.

TARIKH TUTUP PENYERTAAN PADA 6 NOV 2008. TEMPAT TERHAD.

YURAN PENYERTAAN RM 150.00 SAHAJA

Jika berminat sila hubungi :-
SEKRETARIAT KEM BINA SAHSIAH
Pejabat Muassasah Darul Ulum,
KM 23, Jalan Kuala Nerang,06400 Pokok Sena, Kedah

Tel/Fax : 04 7824252 atau talian terus :-
En. Mohd Zikri Zakaria : 013 4249382 /Ust Musoddak : 012 4827563/ Ust Salim : 0135814585/ Ust Nizam : 019 5586401/ En. Rashidi : 012 4365699/ Ustzah Nor Fuadi : 012 6441420

Email: darululum.muassasah@gmail.com / pondok_mz@yahoo.com
YM : pondok_mz@yahoo.com

DAPAT PAMPLET KBS 2008 DISINI

Monday, October 13, 2008

Makan Malam Amal Persatuan Ulama' Kedah


Saya bersama isteri ke Makan Malam Amal Persatuan Ulamak Kedah ( PUK ) di dewan Sri Mentaloon Kediaman rasmi Menteri Besar. Program tersebut berjaya dan dimaklumkan kutipan kupon adalah membanggakan sekaligus pembinaan wisma PUK mampu menjadi kenyataan.

Ziarah INSANIAH ke Kolej Islam Darul Ulum




Semalam rombongan pentadbiran INSANIAH diketuai rektornya Dr Jamil Osman ke KIDU. Sesi bermula dengan sarapan pagi , diikuti ziarah ke kawasan Kolej dan di susuli dengan dialog dan perbincangan di dewan KIDU. Majlis diakhiri dengan jamuan tengahari. Pihak Kolej diketuai Ustaz Zawawi selaku Ketua Pegawai Eksekutif mengucapkan terima kasih atas lawatan mahabbah tersebut.

Tuesday, October 7, 2008

Khutbah Aidilfitri Dr Haron Din

Hikmah daripada berpuasa di bulan Ramadan dengan menahan lapar dan dahaga adalah untuk menimbulkan rasa keinsafan bagi melahirkan insan yang prihatin membantu saudara seagama seperti tidak menjadi di kalangan umat Islam kini, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Sehingga kini katanya, umat Islam terus dilanda pelbagai masalah, ditindas dan dijajah tanpa mendapat pembelaan dan bantuan daripada umat Islam yang lain.

Menurutnya, krisis yang menimpa umat Islam sejagat sekarang adalah berpunca daripada perpecahan yang berlaku di kalangan ummah itu sendiri.

"Alhamdulillah kita dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana aman dengan hidangan juadah yang enak. Tapi jangan lupa ada umat Islam yang menyambut hari raya dengan hidangan peluru, bom, belantan, keganasan dan pembunuhan,darah merah mengalir pada hari raya," katanya menyampaikan khutbah Aidilfitri di Balai Islam MADI dekat sini baru-baru ini.

Katanya lagi, umat Islam rata-rata dilabelkan oleh musuh mereka sebagai pengganas atau teroris yang mesti diperangi.

Image"Mereka (kuffar) tidak menyiksa mereka itu (orang Islam) melainkan kerana mereka beriman dengan Allah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji," ujarnya memetik ayat 8 dari Surah Al-Buruj.

Tambahnya, Ramadan yang juga dikenali dengan nama bulan kesabaran, bulan pengorbanan, bulan jihad, bulan pengampunan dan bulan kemenangan, namun dari Ramadan tahun lalu sehingga yang baru berlalu, banyak peristiwa yang berlaku atas umat Islam yang dapat dilihat.

"Umumnya ternyata Islam masih tertindas di sana-sini, dihukum dengan kejam yang semuanya ini menuntut kita untuk bersabar, tapi sampai bila perlu kita bersabar?

"Masalah besar yang menimpa umat Islam sekarang ialah Masjidil Aqsa, penjajahan yahudi ke atas Palestin yang merampas bumi umat Islam. Amat malangnya pada masa yang sama berlaku perperangan dan pembunuhan sesama umat Islam disana antara Hamas dan Fatah yang kedua-duanya parti umat Islam. Lebih malang lagi, orang Arab, umat islam dan kita semua tidak berbuat apa-apa untuk membantu mereka.

"Puasa semacam tidak mendatangkan kesan positif kepada ummah, puasa sudah menjadi satu ritual atau perkara biasa tanpa makna sebenar yang boleh menjadi pendorong untuk memperbaiki diri dan ummah ke arah satu penyatuan yang lebih baik," katanya.

Baginya, permasalahan umat Islam terus menjadi lebih parah seperti yang terbaru berlaku perang saudara di Darfur (Sudan), masalah politik tempatan di Mauritania, Somalia, Georgia dan Selatan Thailand.

"Krisis berterusan, perang tak henti-henti di Iraq, Afghanistan, Kosovo, Pakistan dan belum nampak tanda-tanda kesudahan.Apabila senario politik terjadi sebegini kita akan menuduh angkara musuh yang tidak berperikemanusiaan didalangi Amerika dan sekutunya. Akan tetapi adalah lebih elok rasanya kita melihat ke dalam diri kita sendiri, diri ummah yang dikatakan "kaum yang lebih tinggi (lebih cangih) kalaupun beriman"

"Apa sebabnya kita mudah diperkotak-katikkan oleh musuh? Jawapannya mudah, sebab kita berpecah-belah dan tidak bersatu," tegasnya.

Katanya lagi, punca umat Islam berpecah adalah kerana mereka tidak berpegang kepada hukum Allah, jauh dari Al-Quran dan meninggalkan Sunnah Rasul s.a.w

"Allah berfirman dalam Sura Al-Anfal ayat 46, Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan jangan sekali-kali kamu bersengketa (berperang sesama sendiri) kelak kamu akan kecundang, diserang takut dan kakuatanmu. Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.

"Yang nyata kita fahami umat Islam tidak bersatu. Mereka hidup dalam nafsi-nafsi, negeri-negeri sendiri. Kalau musuh menangkap mangsa atau negeri dijajah serta diseksa, yang lain hanya menjadi penonton," ujarnya lagi.

Menurut beliau, untuk melihat perpecahan umat Islam kita tidak perlu tengok jauh ke Timur Tengah atau Afrika sebaliknya melihat di negara kita sendiri.

"Orang Islam di Malaysia inipun tidak bersatu. Kita sebenarnyapun sudah berpecah sekurang-kurangnya selama 57 tahun apabila wujudnya dua buah parti politik besar Melayu

"Mungkin kerana perpecahan ini suatu yang tidak baik dan kerajaan yang tidak kukuh, jelas musuh-musuh Islam sudah mulai lantang meyuarakan perkara-perkara seperti laungan azan, kebebasan beragama sebagai contohnya murtad yang diminta diberi kebebasan atas nama hak-hak kemanusiaan dan berlakunya ketengangan antara kaum khasnya atas hal-hal yang berkaitan agama.

"Kita sekan-akan menunggu berlakunya sesuatu yang lebih kompleks, masalah yang lebih gawat yang akan menjerumuskan kepada ketengangan yang membawa kepada berlakunya huru-hara," jelasnya lagi.

Justeru beliau menyeru sidang hadirin untuk sama-sama komited dalam perjuangan Islam.

"Tegakkan negara Islam itu di dalam diri kamu terdahulu, Insya Allah akan tertegaklah negara Islam di dalam negeri kamu. Sebab itulah kita sentiasa perlu mematuhi segala perintah Allah dan hukum-hukum Allah mestilah diletakkan di hadapan," serunya. - mr_

Monday, October 6, 2008

KIDU Anjurkan Kursus Bahasa Arab Rendah


Program tersebut diadakan pada

14 - 31 Disember 2008

Pengisian
- Bahasa Arab komunikasi
- Al-Quran
- Fardhu Ain
- Bimbingan Anak Soleh

18 Hari

Yuran hanya RM 250 termasuk makan dan penginapan

Hubungi segera tempat terhad

04 - 7825754 - Pejabat
04 - 7824070 - Fax
017 - 4800965 - Ustaz Abdul Ghani

Sambutan Aidilfitri di SMIDU



Sausana penuh ukhuwwah fil Lah bersama sahabat seperjuangan di bumi barakah muassasah. Semua kakitangan SMIDU dan KIDU bersama pelajar menjayakannya.

Cuma pelajar KIDU sedang bercuti bagi memberi peluang kepada semua calon SPM menduduki peperiksaan tersebut dengan jayanya.

Sunday, October 5, 2008

Pondok Sungai Durian perkenal pendidikan moden

MADRASAH Muhammadiah Pondok Sungai Durian guna pendekatan baru dalam proses pembelajaran.

Sistem tradisional, sukatan persekolahan YIK, teras pembelajaran lahir cendekiawan

SEBUT saja pondok terbayang rumah kecil beratap rumbia macam zaman dulu dengan kemudahan yang terhad. Begitu juga dengan pondok tempat pengajian ilmu agama, persepsi sama diberikan terutama dari segi infrastruktur.

Hakikatnya, pengajian pondok kini sudah melangkah ke fasa baru apabila sistem pendidikan serta kemudahan disediakan walaupun masih di belakang sistem sekolah berasrama penuh lain tetapi usaha dilakukan membolehkan pusat pengajian itu hampir menyamai sekolah asrama.

Contohnya, Pondok Sungai Durian (PSD) di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai yang baru menyambut Jubli Emas penubuhannya 4 Jun lalu. Daripada pondok berkonsepkan tradisional, Pondok Sungai Durian atau nama lengkapnya Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian kini bertukar wajah.

Penasihat PSD, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, selaras perubahan masa dan keperluan pelajar, sudah tiba masanya sistem pondok yang ada sekarang ini diselaraskan dari aspek kurikulum dan sistem pelajaran.

Katanya, sistem lama seperti pengajian kitab dari kulit ke kulit masih perlu diteruskan tetapi menggunakan pendekatan baru dengan memperkenalkan peperiksaan bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Sistem pondok tradisional ialah mengaji kitab lama dari kulit ke kulit tetapi sekarang ini tanpa sijil pelajar tidak boleh menyambung pengajian. Oleh itu, pengajian kitab lama perlu ada ujian atau peperiksaan untuk mendapatkan sijil.

"Sambutan kepada pengajian pondok tidak pernah ketandusan. Maknanya masyarakat memang mengiktiraf sistem pondok dan kerana itu saya sarankan kurikulum dan sistem pendidikan di pondok diselaraskan bagi kepentingan pelajar," katanya.

Beliau berkata, PSD melaksanakan dua sistem pembelajaran iaitu sistem pondok cara tradisional dan sistem persekolahan mengikut sukatan Yayasan Islam Kelantan (YIK) bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Sistem pendidikan tradisional diberi perhatian penting oleh pentadbir PSD kerana sistem itu berkesan untuk melahirkan generasi pelapis yang berwibawa. Sistem itu mengambil kira beberapa faktor antaranya teks pengajian daripada kitab silam dihasilkan ulama di nusantara atau ulama Timur Tengah.

Kaedah pembelajaran tradisional ialah membaca kitab dari awal hingga akhir pada setiap mata pelajaran dan setiap pelajar diwajibkan menghafal matan serta mesti memperdengarkan kepada guru masing-masing.

Pengajian mengikut sistem pondok biasanya diadakan selepas solat lima waktu setiap hari mengikut jadualnya tersendiri sebagaimana sistem persekolahan. Tetapi ia lebih berbentuk umum kerana pengajian diadakan dalam masjid pondok.

Cara pengajiannya, murid-murid akan membentuk halaqat (bulatan) mengikut pelajaran yang diajar dengan bimbingan seorang guru, atau murid akan mengikut pengajian secara umum dengan seorang guru yang mengajar berpandukan kitab tertentu.

Dr Abdul Basit berkata, sistem pendidikan moden yang diperkenalkan PSD berjalan selama lima hari seminggu bermula dari Ahad hingga Khamis. Setiap hari kelas bermula pada jam 8 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.

Katanya, pelajar akan mengikuti tujuh mata pelajaran dalam kelas menggunakan sukatan pelajaran disediakan YIK dan pihak PSD juga membuat sedikit tambahan dalam sukatan berkenaan untuk mengimbanginya dengan sukatan pondok.

Secara keseluruhannya, mata pelajaran yang diajar di sekolah itu dibahagikan kepada tiga kategori umum iaitu Bahasa Arab, bahagian agama dan am.

Pelajar PSD akan menduduki tiga peperiksaan dalam setahun kerana PSD juga mengeluarkan sijil kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan akhir sesi pengajian (Shahadah Thanawiah). Di samping itu, pelajar tingkatan empat diwajibkan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMU) yang dikelolakan YIK.

"Cuma untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kita akan minta pelajar mendudukinya secara persendirian. Syukur, kebanyakan pelajar PSD yang mengambil peperiksaan SPM secara persendirian lulus dengan baik," katanya.

Beliau berkata, sambutan terhadap pelajar pondok tidak pernah ketandusan dan itu adalah bukti jelas menunjukkan orang ramai masih percaya terhadap sistem pendidikan yang dijalankan di pondok di seluruh negara.

Permintaan terhadap graduan lulusan pondok untuk berkhidmat sebagai imam, pendakwah dan guru agama membolehkan pelajar sekolah pondok mengembangkan kerjaya sebaik mereka menamatkan pengajian.

PSD menerima pelajar berusia 13 tahun hingga 15 tahun yang berhajat menimba ilmu pengetahuan di sana. Hingga kini, ada 600 pelajar di PSD dan 350 daripadanya adalah pelajar umum.

Mengimbau sejarah penubuhan PSD yang diasaskan Allahyarham Abdul Rahman Sulaiman pada 4 Jun 1958, pondok binaan kayu itu awalnya dibina dengan bantuan penduduk kampung serta kakitangan Jabatan Perhutanan tanpa sebarang bayaran.

Asalnya pondok itu mula beroperasi di Bukit Enggong, Guchil, Kuala Krai tetapi kemudian terpaksa dipindahkan ke Kampung Sungai Durian kerana lokasi itu tidak sesuai dengan sistem pengajian pondok, lebih-lebih lagi dengan bilangan pelajar semakin bertambah.

Pada peringkat awalnya, PSD hanya terdiri daripada sebuah bangunan dua tingkat dengan kemudahan asas dua ruang pejabat dan perpustakaan serta lapan bilik darjah dan kantin. Kini, PSD dilengkapi kemudahan asas yang boleh menampung keperluan pelajar dan penghuninya.

Kawasan yang dahulunya hanya empat ekar, kini bertambah 12 ekar hasil pembelian tanah daripada jiran sekitar pondok. Sekembalinya Abdul Rahman Sulaiman ke rahmatullah, pentadbiran PSD diteruskan oleh generasi kedua (adik serta anak-menantu Allahyarham).

Selepas 50 tahun beroperasi, PSD melangkah maju ke depan dan mampu berdiri sebagai salah satu pusat pengajian tradisional yang masih bertahan sehingga sekarang. PSD turut menjalinkan hubungan dengan institusi pendidikan lain antaranya Kolej Sultan Ismail Petra, Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) di Kedah dan Universiti Al-Madinah Antarabangsa (Mediu) di Shah Alam.

Dr Abdul Basit berkata, sistem pendidikan pondok sekarang ini melengkapi kekurangan yang ada terutama bagi mereka yang ingin belajar kitab dan mendalami ilmu agama dalam suasana lebih sistematik serta selesa.

Justeru katanya, PSD sentiasa berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur seperti menyediakan kemudahan asas bagi pelajar setanding sekolah berasrama lain yang mendapat bantuan kerajaan.

"Masih ada yang menggunakan pondok lama kerana asrama masih tidak mencukupi. Bagaimanapun, PSD baru melancarkan dana untuk menambah bangunan memandangkan pondok lama memang tidak sesuai," katanya.