Tuesday, September 23, 2008

Ust Fadhil Nor Dalam Kenangan


Cacatan perjalanan: 100 ribu rakyat mengiringi perjalanan terakhir pejuang bangsa.

Oleh Helme Hanafi

Seorang sahabat memberitahu keadaan Datuk Fadzil Nor tenat di Hospital Universiti Kebangsaaalaysia (HUKM) malam Sabtu 22 Jun lalu. Saya terasa getar pada suaranya yang seolah-olah memberitahu supaya segera ke HUKM. Tanpa lengah saya menghubungi Naib Ketua Pemuda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan memaklumkan keadaan terkini Datuk Fadzil.

Beliau ketika itu sedang menikmati makan malam di Bangsar bergegas menyemput saya dan seorang lagi sahabat di Bukit Melawati. Bertiga kami pergi ke HUKM dan sebaik tiba terserempak dengan Dr Mohd Nur Manuty yang berjalan keluar dari hospital diringgi oleh Datuk Dr Hassan Ali serta keluarga. Kami bersalaman dan bertanya khabar terkini Datuk Fadzil dan diberitahu keadaan beliau ketika itu stabil. "Tadi lepas Maghrib kuman masuk dalam darah jadi keadaan kritikal sikit tapi sekarang Alhamdulilah kembali stabil,"kata Dr Mohd Nur dan diakui oleh Dr Hassan Ali.

Selepas berbual seketika, kami minta diri untuk masuk ke HUKM. Kemudian kami bertembung pula dengan bekas Presiden ABIM pertama, Dr Razali Nawawi yang diiringgi oleh beberapa orang keluar dari HUKM. Selepas bertanya khabar, berpelukan kami melangkah masuk mencari bilik rawatan Datuk Fadzil. Kedatangan kami disambut oleh Setiausaha Agung PAS, Ust Nasaruddin Mat Isa dan Setiausaha Politik kepada Datuk Fadzil, Dr Hatta Ramli.

Di balkoni sebelum masuk ke bilik rawatan terdapat juga anak lelaki Datuk Fadzil yang kelihatan tenang memberitahu ayahnya telah kembali stabil selain beberapa lain kenalan rapat Presiden PAS tersebut. Kerana kedatangan saya pada malam itu bukan diatas arahan atau tugas mencari berita, jadi saya hanya berbual-bual dengan Dr Hatta dan mendengar cerita dari Ust Nasaruddin.

Cerita perletakan jawatan Dr Mahathir yang kemudian ditarik balik menjadi bahan berlucu kami malam itu. Kami pulang ke rumah masing-masing setelah jam menunjukkan pukul 3 pagi. Pukul 10.50 pagi 23 Jun lalu, Shamsul orang pertama menelifon saya memberitahu bahawa Datuk Fadzil Nor telah kembali ke Rahmatullah. Dalam keadaan terkejut saya menghubungi seorang sahabat dan beliau menyuruh saya bersiap untuk ke HUKM.

Dari jauh saya perhatikan perkarangan HUKM telah dipenuhi oleh orang ramai. Sebaik tiba saya lihat Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar memberitahu orang ramai bahawa jenazah akan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah. "Sesiapa yang hendak ke Kedah boleh bertolak sekarang kerana jenazah akan diterbangkan terus ke Alor Setar,"kata Mahfuz kepada orang ramai. Pemimpin PAS, Keadilan, Umno, dan orang ramai bercampur baur.

Di celah-celah orang ramai itu saya terpandang 'boss' saya, Pak Khalid Jaafar dan peguam muda Yusmadi Yusuf. Saya pergi bertemu beliau dan diberitahu supaya bersiap untuk menghadiri upacara perkebumian Datuk Fadzil Nor di Muasasah Darul Ulum, Kedah. Ketika kereta kami memasuki pekan Alor Setar jam menunjukkan pukul 5.40 petang. Kami sememangnya menjangkakan kesesakan lalu lintas tapi yang memeranjatkan adalah kesesakan tersebut bermula kira-kira 11 Kilometar dari Muasasah.

Kereta bergerak perlahan dengan di kiri-kanan jalan penunggang motosikal asyik mencelah mencari ruang kosong. Selepas 3 kilometar bersesak-sesak, kami benar-benar terperangkap akhirnya setelah melihat beberapa pemimpin mula berjalan kaki, kami mengambil keputusan untuk berjalan sama.

Ribuan orang dengan kenderaan terperangkap dan hanya penunggang motorsikal sahaja yang bergerak. Saya lihat Pak Khalid menahan seorang penunggang motorsikal, bercakap seketika dan membonceng motorsikal tersebut diikuti oleh YB Azmin Ali dan beberapa orang lagi. Ketika itu saya diberitahu jarak Muasasah Darul Ulum dengan tempat kami berjalan kira-kira 7 kilometar.

Setelah berjalan lebih satu kilometer saya lihat bekas Yang diPertuan Persatuam Ulama Malaysia, Ust Ahmad Awang turut terperangkap dalam kereta yang dinaikinya. Ketika itu, ada sebuah motorsikal berhenti dan bertanya samada saya ingin menumpang beliau. Lelaki lewat 50 an yang masih gagah itu bercerita bahawa beliau adalah orang kampung Pokok Sena. Katanya inilah kali pertama beliau lihat orang seramai ini.

"Ceramah besar selalu ada, tapi ini kali pertama pak cik tengok orang terlalu ramai,"katanya yang bercerita bahawa pada petang itu beliau berulang-alik berkali-kali untuk menumpangkan orang ke muasasah. "Ust Fadzil orang yang baik hati, dia jumpa kita kat mana pun angkat tangan, tak pernah sombong,"katanya dengan lohgat kedah yang pekat.

"Ust Fadzil minta kalau dia meninggal tanam kat sini (muasasah), dulu Pokok Sena ini orang tak mai, tempat jin bertendang, tapi Ust Fadzil beli tanah berpuluh ekar, buat muasasah, buat tempat ceramah,"katanya penuh dalam remang-remang senja petang itu. "Anak pak cik mengaji kat muasasah tu, lepas nie boleh sambung pi Mesir, Al-Azhar.

Ust Fadzil la yang suruh buat muasasah tu dulu. Kami orang kampung terhutang budi dengan Ustaz (Fadzil) kalau tak sebab dia mana ada orang Kuala Lumpur sampai kat Jabi (nama kampung), mana ada orang nak peduli dengan kami,"kata beliau yang sanggub berulang-alik dengan motorsikal 'uzur' yang menghantar orang ramai ke muasasah.

Saya tiba di muasasah tapi tidak boleh masuk untuk melihat jenazah kerana orang terlalu ramai. Ketika itu saya terbayang betapa Datuk Fadzil Nor disayangi oleh rakyat Malaysia dan orang Kedah terutamanya. Saya lihat surau besar di muasasah dipenuhi dengan orang yang membaca Al-Quran, bertahlil dan berzikir. Puluhan ribu lagi di luar terperangkap dalam kesesakan luar biasa di Pokok Sena.

Ketika Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berucap, beliau berkata, PAS telah kehilangan ramai pimpinan. Di seluruh Malaysia tapi inilah kali pertama dia melihat bagaimana ratusan ribu orang hadir ke majlis perkebumian seorang pemimpin PAS. "Ini membuktikan perjuangan beliau telah berjaya menyakinkan orang ramai. Orang ramai terhutang budi dengan pemimpin berjiwa besar seperti beliau,"kata Tuan Guru Nik Aziz sebelum mengimamkan jenazah Allahyarham Ust Datuk Fadzil Nor.

Allahyarham sepanjang hayatnya adalah pejuang yang gigih, sabar, komited dan sederhana. Demi kepentingan perjuangan Datuk Fadzil Nor akan bersahabat dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu dulu adalah lawan beliau. Sifat tidak berdendam menjadikan beliau dihormati oleh kawan dan segani oleh lawan. Semoga Rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.-Al Fatihah.

0 comments: