Wednesday, September 24, 2008

Pedoman Aidilfitri

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan telah sampai ke penghujungnya. Kini Aidilfitri menjelang tiba. Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadan telah berjaya.

Tapi ini bukan bererti perjuangan tersebut berhenti setakat itu sahaja sebaliknya amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan wajar diteruskan dan amalan yang haram adalah ditegah. Namun dalam keghairahan dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Ini kerana dibimbangi, hariraya yang dijadikan oleh Allah swt sebagai anugerah kerana kejayaan hambanya beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan bertukar menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa yang tidak dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Islam telah memberikan beberapa garis panduan yang sewajarnya menjadi amalan umat Islam dalam menghadapi kemeriahan berhari raya. Antara amalan sunat yang dianjurkan untuk menjadi amalan menjelang hari raya ialah:

:- Bertakbir dan bertahmid kepada Allah bermula dari waktu terbenam matahari malam hari raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang hari raya. Firman Allah : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Surah al-Baqarah :185)

:- Mandi sunat di pagi hari raya :- Memakai pakaian baru atau bersih

:- Memakai wangi-wangian dan menghilangkan segala bau yang tidak elok

:- Memohon kemaafan dan keampunan kepada dua ibubapa, suami atau isteri dan ahli keluarga yang lain

:- Makan sedikit sebelum ke masjid dan melalui jalan yang berbeza untuk pergi dan pulang dari masjid

:- Solat Sunat Hari Raya

:- Ziarah menziarahi dan sebagainya. Ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan yang memerlukan Amalan bersedekah merupakan cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Selain daripada itu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya , perlu dielakkan campuraduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan makanan dan minuman. Selain itu, percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku.

Perkara-perkara maksiat yang ditegah oleh syara’ mestilah dijauhi dan janganlah melakukan perlanggaran batas-batas agama. Umat Islam juga perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara.

Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Comments
Sunnah Nabi S.A.W. di hari raya

Khamis, 25, September 2008 pada 12:39 pm (Bicara Agama)
Tags: Pengumuman

Sumber: http://www.al-azim.com/

Kegembiraan umat Islam menjelangnya Hari Raya Aidilfitri tidaklah bererti kita menyambutnya sebagaimana kaum-kaum yang lain bersuka ria pada hari-hari kebesaran mereka.

1. Sebelum pergi menunaikan solat sunnah Hari Raya Aidilfitri, Baginda SAW akan mengenakan pakaiannya yang terbaik, kemudian menjamah tamar dengan bilangan butiran ganjil iaitu tiga, lima atau tujuh biji. Hal ini berlainan dengan Hari Raya Aidiladha di mana Baginda SAW imsak (tidak makan) sebelum menunaikan solat sunnah Hari Raya Aidiladha.

2. Baginda SAW akan berpesan agar kaum muslimin menyegerakan pembahagian zakat fitrah kepada mereka yang berhak, manakala solat sunnah Aidiladha disegerakan supaya umat Islam dapat mempercepatkan urusan sembelihan korban. Mengenai hal tersebut, Allah Ta ‘ala berfirman: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah! ” (Al Kautsar: 2).

3. Ibnu Umar RA kerana mahu bersungguh menghayati sunnah Nabi SAW, beliau hanya akan keluar untuk pergi menunaikan solat sunnah selepas terbitnya matahari dan di sepanjang perjalanan beliau akan terus bertakbir dan bertahmid memuji Allah SWT.

4. Nabi SAW akan mengerjakan solat sunnah itu sebelum berkhutbah. Di dalam solat berkenaan, Baginda SAW akan bertakbir sebanyak 7 kali dan berhenti seketika. Hanya Riwayat Ibnu Mas’ud sahaja yang menjelaskan bahawa Nabi SAW membaca Hamdalah dan berselawat di antara takbir-takbir itu. Pada rakaat yang kedua, takbir adalah sebanyak lima kali. Diriwayatkan juga bahawa Ibnu Umar RA mengangkat kedua-dua tangannya semasa bertakbir.

5. Pada rakaat pertama Nabi SAW akan membaca Al-Fatihah dan Surah Al-Qaf dan di rakaat yang kedua pula Al-Fatihah bersama Surah Al-Qamar. Kadang-kadang Baginda SAW akan membaca Surah Al-A’la dan Surah Al-Ghasyiah.

6. Nabi SAW tidak mengerjakan sebarang solat sebelum atau selepas solat sunnah hari raya itu. Dari Ibnu Abbas RA, beliau berkata : “Sesungguhnya Nabi SAW menunaikan solat Aid dua rakaat tanpa disertai solat yang lain baik sebelumnya mahu pun sesudahnya. ” (HR. Al Bukhari dan Muslim dan yang lain).

Comments
Menghayati Aidilfitri

Khamis, 25, September 2008 pada 12:38 pm (Bicara Agama)
Tags: Pengumuman

Sumber: http://www.al-azim.com/

Pada ketika ini kita semua sedang dalam keadaan suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri. Berziarah dan kunjung mengunjung, membuat rumah-rumah terbuka, menjamu sanak saudara dan sahabat handai.

Begitulah kebiasaan atau tradisi kita menyambut lebaran. Semoga kita menyambut Aidilfitri ini mengikut seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan.

Antara perkara yang dianjurkan oleh syara’ itu ialah :-

Pertama - bermaaf-maafan, perkara ini bukan hanya dilakukan pada hari raya sahaja, bahkan sewajarnya dilakukan dari masa ke semasa dengan seberapa segera, demi mengukuhkan ikatan persaudaraan agar terus menjadi erat dan mesra.

Kedua - kunjung mengunjung ( berziarah ) tanda persaudaraan dan silaturrahim. Mengujudkan hubungan silaturrahim ini merupakan salah satu yang dituntut oleh Islam bahkan dengan mengujudkan silaturrahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam riwayat Al-Imam At-Tarmizi :- Maksudnya :-

Hubungan silaturrahim adalah jalinan daripada tuhan yang pengasih. Siapa yang menyambungnya, Allah juga berhubung dengannya dan siapa yang memutuskannya, Allah memutuskan hubungan dengannya.

Dalam pada itu patut kita ingat bahawa dalam kita asyik mengadakan kunjungan itu, janganlah pula sampai tertinggal sembahyang atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran-ajaran agama Islam seperti bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Ketiga - selain ziarah menziarahi di hari yang mulia ini, marilah kita sambut dengan cara yang berpatutan baik dari segi mengadakan jamuan, perhiasan, mahu pun pakaian, jangan sampai wujud pembaziran yang akan menyebabkan kita menanggung beban dikemudian hari. Hari raya ini bukan untuk kita menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi hari raya adalah hari untuk kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wataala dan hubungan kita sesama makhluk. Ingatlah akan Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali-Imran ayat 112 :- Tafsirnya :-

Mereka diliputi kehinaan dimana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali ( agama ) Allah dan tali perjanjian dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka mengingkari dengan ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui.

Keempat - janganlah hendaknya ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya, balik hingga lewat malam dan menjadikan hari raya ini sebagai hari pergaulan bebas diantara mereka dan kawan-kawan.

0 comments: